Pages

09 March 2010

Artikel Fotografi - Habuk dan Fotografi


HABUK DAN FOTOGRAFI
 
Kesan habuk yang melekat pada sensor kamera DSLR adalah perkara yang sangat melecehkan. Dalam imej yang dirakam, habuk akan kelihatan seperti tompokan kelabu pada lokasi yang sama untuk semua imej yang dirakam. Walaupun dalam sesetengah kes kita boleh membuang tompokan tersebut daripada imej dengan menggunakan perisian seperti Photoshop, ia adalah satu kerja yang leceh. Lebih sakit hati jika kita hanya sedar sensor berhabuk selepas melengkapkan tugasan dengan ratusan imej telah dirakam.

Hampir semua model kamera DSLR yang dikeluarkan selepas tahun 2008 mempunyai sistem anti-dust yang mengurangkan risiko habuk. Terdapat beberapa pendekatan yang digunakan, contohnya Olympus mengguna sistem SSWF yang merupakan penyaring habuk yang bergetar pada kelajuan supersonik setiap kali kamera dihidupkan. Sebagai pelopor dalam teknologi anti-dust, SSWF diakui sebagai sistem yang paling berkesan. Sony pula menggunakan teknik lain iaitu dengan menggegarkan sensor pada frekuensi yang rendah untuk menanggalkan habuk yang terlekat. Nikon pula menggetarkan low pass filter yang terletak di hadapan sensor sebagai teknik membuang habuk.

Walaupun kamera anda mempunyai sistem anti-dust, ini bukan bermakna ia 100% kebal dari habuk. Tabiat penggunaan peralatan yang baik boleh mengurangkan risiko habuk daripada terlekat pada sensor. Sudah tentu habuk hanya masuk apabila kita menukar lensa. Berikut adalah tips yang saya cadangkan untuk mengurangkan risiko habuk.
  1.  Jangan tukar lensa di dalam keadaan yang berhabuk.
  2. Gantung tali kamera di leher dan tukar lensa dalam keadaan sensor menghadap ke bawah. Dengan ini tiada habuk yang jatuh dari atas dan masuk ke dalam kamera.
  3. Tukar lensa sepantas mungkin. Pastikan penutup belakang lensa telah dilonggarkan sebelum mencabut lensa yang terpasang di kamera.
  4. Tahan nafas ketika menukar lensa dan jangan sama sekali menghisap rokok semasa menukar lensa.
Jika sensor anda sudah dicemari habuk, anda boleh mencucinya dengan kit yang boleh didapati di kedai kamera atau hantar sahaja ke pusat servis yang bertauliah.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

No comments:

Post a Comment