Pages

29 October 2010

Rahsia Di Sebalik Tujuh Ayat Surah al-Fatihah


Mari kita baca dan hayati artikel mengenai kelebihan dan keistimewaan 7 ayat dalam Surah al-Fatihah ini. Subhanallah. Sesungguh Allah itu Maha Hebat dan Maha Bijaksana.
Rahsia Di Sebalik Tujuh Ayat Surah al-Fatihah

Surah al-Fatihah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam Al Fatehah itu dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada ayat yang berakhir dengan ‘mim’ dan ada ayat yang akhirnya dengan ‘nun’. Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan.



Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan Tuhan.
Antaranya ialah:

  • 1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu
Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik, dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak. Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.
  • 2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan
Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk dan patuh kepada Tuhan.

Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:

a.) Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata, mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam jenis.
b.) Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.
c.) Kedua-dua lutut
d.) Kedua-dua tapak kaki

Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita menyebut, “Hidupku dan matiku adalah untuk Allah.” Ertinya semua anggota yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam perbuatan.
  • 3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga
Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh intipati Al Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat Neraka.



  • 4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi
Di langit ada macam-macam makhluk Allah yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah mengesahkannya tetapi ia setakat hubungan yang lahir.
Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib seperti malaikat.
Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia. Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan, pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang malaikat, mereka tidak tahu.Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia. Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh kesan.

Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani. Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia. Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.
Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam Al Quran:Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, ‘Diamlah kamu (untuk mendengarkannya) .’ Ketika pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan.” (Al Ahqaf: 29)

Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar anak kita maka akan timbul masalah.
  • 5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang tujuh peringkat.
Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:i. Nafsu ammarahii. Nafsu lawwamahiii. Nafsu mulhamahiv. Nafsu mutmainnahv. Nafsu radhiahvi. Nafsu mardhiahvii. Nafsu kamilah
Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat. Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu boleh menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi Al Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah. Walaupun nafsu mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.

Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya, sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap. Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha mengendalikan nafsunya.

Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah kerana menciptakan dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran.

Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ketujuh, yang mana nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya hingga mereka sampai peringkat ketujuh itu.

Surah Fatihah Dibaca Dlm Setiap Solat
Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu walaupun sifatnya tidak sama. Namun kita seperti diberi amaran bahawa kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al Fatehah itu untuk memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah.

Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan kekuatannya mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh wujudkannya dan Allah berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun orang rohani yang diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan Al Fatehah ini yang dirangkum dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia bersifat falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666 ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang dhaif dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan tujuh tahap nafsu itu.

Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Fatehah padahal baru memperkatakan kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu Fatehah, belum masuk ke dalam tetapi sudah nampak besar isinya. Oleh sebab itulah saya lebih suka mengatakan Al Fatehah itu ‘Surah Yang Dapat Kemenangan’ daripada menamakan ia ‘Surah Pembukaan’.
Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu sebagai Surah Pembukaan kerana ia diletak di depan Al Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya elok dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Ini kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri dalam menamakan surah ini menggunakan isim fi’il - ‘yang telah mendapat kemenangan’. Lebih baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah Fatehah itu menentukan seseorang itu mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia mahupun di Akhirat. Agar dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak disia-siakan. Jangan dianggap semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan hidup kita.

Subhanallah. Allahu Akbar! Mari kita sama-sama memperbanyakkan bacaan surah al-Fatihah setiap masa dan ketika.

Ali Noor - alinoor1977@gmail.com


26 October 2010

Isteri Solehah





Asma' binti Kahariyah Fazari diriwayatkan telah berkata kepada puterinya dihari pernikahan anaknya itu:

"Hai anakku, kini engkau kan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenal dan berkawan pula dengan orang yang belum engkau kenali. Itulah suamimu."

Jadilah engkau tanah bagai suamimu (taati perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagimu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan pelbagai kesukaran karena itu akan memungkinkan ia meninggalkanmu.

Janganlah engkau terlampau menjauhinya, agar ia tidak melupaimu. Sekiranya dia menjauhimu, maka jauhilah dia dengan baik. Peliharalah suamimu itu dengan baik. Jagalah mata, hidung dan anggotanya yang lain.

Janganlah kiranya suamimu itu akan mencium sesuatu darimu melainkan yang harum. Jangan pula ia mendengar sesuatu darimu melainkan yang enak dan janganlah ia melihatkan melainkan yang indah sahaja pada dirimu.

Kalau wanita ingin menjadi isteri yang baik, dipihak lelaki juga berhasrat memiliki wanita yang begitu. Mereka (para suami ) ingin benar punya isteri yang menyambut kepulangan dari tempat kerja dengan wajah yang manis dan ceria, senyum menawan, pakaian yang bersih dan wangi dan rumahtangga pula berada dalam keadaan bersih kemas dan terurus. Bila mata sedap memandang, tenang dan damailah hati suami.

Bukan itu saja suami juga bercita-cita memiliki seorang isteri yang boleh menjadi penghibur dirinya, boleh berkongsi masalah dengannya, faham apa yang disenangi, tahu mengambil hati suaminya disamping boleh memberi layanan-layanan yang menyenangkan dan mengembirakan suami. Itulah wanita idaman setiap lelaki. Pendek kata bagaimana lelaki akan dilayani oleh bidadari di syurga kelak begitu jugalah keinginan lelaki berhajatkan layanan dari seorang isteri seorang bidadari rumahtangga. Oleh sebab itu dikatakan rumahtangga yang bahagia itu ialah syurga tentulah ada bidadarinya. Siapa lagi kalau bukan isteri yang solehah yang layak menyandang gelaran bidadari dunia.

Isteri yang solehah akan berusaha memberi wajah jernih pada rumahtangga. Kasih sayang yang lahir adalah hasil dari masing-masing hendak mencari keridhaan Allah, bukannya dorongan nafsu semata- mata. Masing-masing suami isteri meletakkan Allah dan akhirat yang lebih besar dan utama.

Isteri yang solehah tidak terasa hina menjadi pelayan suami, malah sebaliknya rasa bangga dan bahagia kalau boleh melakukan tugas-tugas itu dengan baik dan sempurna. Gembira kerana yakin dengan janji Allah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Apabila seorang perempuan mencuci pakaian suaminya, maka Allah mencatat baginya seribu kebaikan dan mengampuni dua ribu kesalahan dosanya, bahkan segala sesuatu yang disinari oleh matahari memohon ampun baginya serta Allah mengangkat seribu darjat baginya."

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membina tujuh parit antara dirinya dengan api neraka. Jarak antara parit itu ialah sejauh bumi dangan langit."

"Wahai Fatimah, setiap wanita yang berair matanya ketika memotong bawang untuk menyediakan makanan keluarganya, Allah akan mencatat untuknya pemberian sebanyak yang diberi kepada mereka yang menangis kerana takutkan Allah."

Siapa yang tidak mau kemuliaan ini hanya dengan melakukan tugas yang ringan? Seorang isteri yang solehah akan sentiasa mencari-cari jalan untuk menyenangkan hati suami dan menutupi ruang-ruang untuk menyusahkan dan mencurigakan suami terhadap dirinya. Dia tidak akan membimbangkan suaminya terhadap dirinya. Maruah dirinya sebagai seorang isteri senantiasa dipelihara dan dijaga kerana itu juga yang menjadi syarat untuk dia mendapat keredhaan Allah dan keselamatan di akhirat nanti.Setiap rumahtangga yang dihuni oleh isteri yang solehah bererti rumahtangga itu telah memiliki perbendaharaan yang termahal di dunia dan di sisi Allah rumahtangga itu mendapat perhatianNya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : " Seorang wanita yang solehah itu lebih baik daripada seribu orang lelaki yang tidak soleh dan seorang perempuan yang berkhidmat melayani suaminya selama seminggu maka ditutuplah daripadanya tujuh pintu neraka dan dibukakan lapang pintu syurga dan dia bebas masuk dari pintu mana yang disukainya tanpa hisab."

Isteri solehah biasanya menjadi milik lelaki yang soleh. Tetapi ada juga ketikanya isteri solehah bersuamikan lelaki yang toleh (jahat). Bolehkan kedamaian dan keamanan wujud dalam rumahtangga bilamana suami kufur dengan Allah dan buruk akhlak terhadap isterinya?. Isteri yang menghadapi persoalan begini boleh tertekan jiwanya. Ada yang tidak sabar dengan kerenah suami hingga tidak terfikir cara lain untuk menyelamatkan jalan hidup yang dipilihnya melainkan berpisah saja dari suami.

Dalam hal sebegini, si isteri perlu banyak bersabar dan selalu bermunajat pada Allah. Ingatlah mungkin kesusahan yang kita hadapi adalah ujian dari Allah s.w.t. Ada dua maksud Allah mendatangkan ujian yaitu pertamanya ujian itu didatangkan sebagai penghapusan dosa dan keduanya untuk peningkatan drajat disisi Allah.

Jadi jika kita boleh bersabar maka terhapuslah dosa-dosa yang lalu. Sebaliknya tidak mustahil juga itu merupakan peningkatan darjat dari Allah. Kalau tidak diuji, mungkin hati kita akan terpaut benar dengan suami, menyayangi suami lebih dari Allah. Jadi untuk melihat sama ada kita membesarkan suami atau membesarkan Allah maka Allah timpakan ujian itu. Kalau benar hati sayang dan takut pada Allah tentu isteri tidak teragak-agak untuk bertindak membesarkan dan menyayangi Allah daripada suaminya sendiri.

Ingatlah, sejahat-jahat suami kita, tidaklah dia lebih jahat daripada Firaun, sedangkan isteri Firaun, Siti Asiah boleh bersabar menghadapi kesombongan dan keangkuhan Firaun sehinggakan Siti Asiah disenaraikan oleh Allah termasuk di dalam barisan antara wanita-wanita solehah yang dijamin syurga.

Oleh itu kalau suami kita masih belum diberi petunjuk janganlah kita jemu untuk memujuk dan mentarbiah, berlaku baik dan paling penting mohon dan bermunajatlah kepada Allah agar Allah mengubah hatinya untuk tunduk pada perintahNya.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda : "Wanita yang taat akan suaminya semua burung-burung diudara, ikan- ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana ia (isteri) masih taat pada suaminya dan diredhai (serta menjaga sembahyang dan puasanya)."


warisan.puteri@yahoo.com

05 October 2010

Adab-adab Memberi Nasihat





Daripada Abu Ruqaiyyah Tamim ibn Aus al-Daarie r.a. bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda: “Untuk Allah, untuk kitabNya, untuk RasulNya, untuk para lmam kaum muslimin dan untuk umat lslam seluruhnya.”

Hadis riwayat al-lmam Muslim.

.................................................................................
Di dalam hadith ke-7 dalam Kitab Hadith 40 yang telah disusun oleh Imam Nawawi ini, jelas telah digambarkan oleh Rasulullah SAW tentang perihal pentingnya nasihat menasihati di dalam perkara kebaikan. Nasihat juga digambarkan besarnya seperti sebuah Agama Islam, menunjukkan bahawa Islam ini melingkari seluruh aspek kehidupan seharian kita. 

Pengertian nasihat

Agama Islam adalah agama Allah, dan agama menurut Rasulullah SAW adalah nasihat yang terbaik untuk umatnya. Dalam Bahasa Arab, nasihat membawa maksud yang dinasihati akan mendapat faedah daripada nasihat yang telah diberi. Ia juga membawa erti bahawa yang menasihati hendaklah menggunakan perkataan yang terbaik dan ikhlas bersih dari maksud yang tidak baik.

Adab-adab memberi nasihat

1. Meluruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan. Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.

2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati. Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.

3. Bersih hati semasa menasihati. Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.

4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara. Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.

5. Memberi waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran. 

Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini? Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.

Telatah makmum di masjid

Sumber: http://syedzai.blogspot.com/ 

Pada Ramadhan dan awal Shawal yang lalu, saya berkesempatan untuk bersolat di beberapa buah masjid di seluruh Malaysia. Saya banyak 'travel' ke beberapa buah negeri untuk menyelesaikan beberapa tugasan. Saya sempat singgah di beberapa buah masjid di tempat-tempat yang saya kunjungi untuk bersolat. 

Secara keseluruhannya, saya agak 'takjub' dengan sikap yang ditonjolkan oleh jemaah beberapa masjid yang saya kunjungi. Berikut saya kongsikan pengalaman saya... 


Bilal terlebih prihatin 

Ketika saya berjalan keluar dari sebuah masjid selepas solat asar, tiba-tiba saya sedar tangan saya dipegang dari belakang. Rupanya-rupanya, tangan saya dipegang oleh salah seorang bilal (tukang azan) masjid tersebut. Saya memberi salam kepadanya dan dia menjawab salam saya. 

Dia kemudiannya bertanya, "Adik ni anak sapa?".Kebetulan pula, ayah saya juga baru keluar masjid jadi saya tunjukkan tangan saya kearah ayah saya.

 "Adik kalau nak solat belakang imam kene tahu ganti imam tau?". 

"Tau.. saya ada (pernah) jadi imam di masjid kat Johor", jawab saya.

"Adik solat jemaah bagus, tapi kalau boleh, pakai baju tangan panjang. Makruh pakai baju tangan pendek ni". 

Terkejut saya dengar kata-kata itu. Sejak bila pulak makruh pakai baju tangan pendek. Setahu saya tiada nas yang menjelaskan perkara tersebut. Yang ada, hanyalah qias dari para ulama tentang melipatkan baju lengan panjang yang dikaitkan dengan hukum mengikat rambut ketika solat. 

Niat bilal tadi mungkin baik namun bagi saya, adalah lebih baik jika teguran itu dibuat atas perkara-perkara yang bersifat jelas akan nasnya. Ini kerana teguran sebegini hanya akan menjadikan islam itu kaku. Teguran tentang perkara-perkara khilaf juga perlu dielakkan. 


Jarak luar biasa 

Pernah satu kali saya datang bersolat di sebuah masjid. Ketika tiba di masjid tersebut, saya dapati solat Zohor baru sahaja hendak bermula dan para makmum sedang mengambil tempat. Alangkah terkejutnya saya melihat jarak diantara para makmum di dalam saf. 

Setiap makmum mempunyai jarak kira-kira satu jengkal dengan makmum yang lain. Apabila saya tiba, saya merapatkan diri saya dengan makmum di sebelah saya. Ketika solat, saya dapat merasakan yang tindakan saya merapatkan badan dengan makmum di sebelah saya tidak disenanginya namun saya tidak mengendahkan akan hal tersebut kerana apa yang penting bagi saya terutamanya apabila melibatkan soal ibadah, adalah keredhaan Allah, bukannya keredhaan manusia. Sepatutnya, makmum solat dengan merapatkan bahu dan kakinya dengan makmum di sebelah. 


Memulakan saf... dari kiri 

Suatu hari saya tiba di sebuah masjid untuk solat maghrib dan mendapati imam baru sahaja memulakan solat. Saf pertama telah penuh dan saf kedua telah dimulakan oleh beberapa orang makmum. Apa yang pelik ialah, saf dimulakan bukannya dari tengah (belakang imam) tetapi sebaliknya jauh di sebelah kiri berdekatan sebuah tiang. Siapa la yang ajar mereka ni memulakan saf dari kiri? 


Ditegur kerana rapat 

Pada waktu yang lain pula, saya datang untuk solat berjemaah. Seperti biasa, saya akan merapatkan diri saya dengan makmum di sebelah. Kali ini, saya bersolat di sebelah bilal (tukang azan) masjid. Tiba-tiba, saya ditegur oleh bilal dengan nada yang agak kasar supaya saya menjarakkan diri saya daripadanya. Badan saya hanya bersentuhan (bukannya bertindih) dengan pak bilal namun dia seakan-akan marah dan mahu saya menjarakkan diri. Pelik bukan? Bukankah setiap kali sebelum solat imam kebiasaannya akan berkata, "Lurus dan rapatkan saf". Tentu seorang bilal tahu akan hal ini bukan? 


Makmum tidak berani bergerak 

Ada dua kes yang pernah saya lihat di mana makmum kaku dan tidak bergerak terutamanya bila terdapat kekosongan di dalam saf. Kes pertama, apabila salah seorang makmum keluar saf kerana terbatal wuduk. Makmum di belakang makmum yang keluar tadi tidak berganjak untuk memenuhi saf. Makmum disebelahnya juga kaku dan tidak bergerak untuk merapatkan saf. Akhirnya, tinggallah ruang kosong di dalam saf tersebut sehinggalah solat jemaah tamat. 

Dalam suatu kes yang lain pula, ia berlaku sebelum solat. Ketika makmum sedang mengambil tempat, saya dapati makmum di sebelah saya agak jauh dan memberitahunya supaya merapatkan dirinya dengan saya. Apa yang menyedihkan adalah, ada makmum yang tidak mengendahkan ajakan saya. Yang pelik dan kadangkala melucukan pula adalah, ada setengah makmum yang pura-pura bergerak merapati saya dengan menggerakkan badan dan kakinya namun setelah saya bersedia untuk takbir, makmum tersebut kembali menjarakkan diri. 

--- 

Kisah di atas adalah diantara beberapa peristiwa pelik yang saya temui ketika bersolat di masjid. Tujuan saya berkongsi kisah-kisah di atas bukahlah untuk mengaibkan mana-mana pihak, namun untuk menceritakan secara tidak langsung tentang kesilapan para makmum yang harus dibetulkan agar solat jemaah yang kita lakukan lebih sempurna. 

Namun begitu jauh di sudut hati saya, perasan sedih menyelubungi diri memikirkan tentang tahap kefahaman agama dikalangan umat islam sekarang. Itu bagi mereka yang bersolat di masjid. Bagaimana pula mereka yang tidak bersolat di masjid atau yang tidak langsung bersolat? Bagaimanakah tahap kefahaman islam mereka? 

Bagi saya, kesilapan yang dilakukan para makmum adalah kerana mereka kurangnya pengetahuan dan kefahaman agama. Jadi, apa yang lebih utama sekarang ialah untuk memberi pendidikan dan ilmu agama yang secukupnya agar generasi islam akan datang lebih faham tentang islam. Ini bukan tugas ustaz atau ulama, ini tugas untuk semua orang islam yang mempunyai ilmu tentang agama islam. Sebarkanlah pengetahuan dan kefahaman islam kepada saudara-mara/jiran/rakan anda, namun pastikan apa yang disebarkan itu tepat agar masyarakat makin faham dan mendekati islam dengan betul. 

Bagaimana mungkin orang bukan islam hendak faham akan islam jika orang islam sendiri keliru dengan islam?

Ikhlas - Sesungguhnya Ia Lebih & Malah Sangat Sukar ... Ustaz Zaharuddin Abd Rahman




Ramai yang berkata tentang ikhlas, ada yang mempertikaikan keikhlasan seseorang, ada pula yang mendakwa tindakannya dibuat secara ikhlas.  Apa sebenarnya ikhlas? Benarkah manusia, khususnya umat Islam di dunia kini terlalu kurang keikhlasan?. Ikhlaskah diri kita dalam berdakwah, berpolitik, menulis, bercerita, belajar, mengajar, mendidik dan berniaga?.

Ini satu persoalan yang besar di sisi Islam dan keikhlasan memerlukan satu mujahadah besar. Ia tidak mudah dan hanya mampu dicapai KECUALI oleh mereka yang benar-benar telah berjaya menanggalkan kecintaan kepada semua jenis makhluk, sama ada ia adalah pangkat, pujian, harta, dianggap selebriti, wang dan kebanggaan.
Allah swt meningatkan :-
قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ
Ertinya : Katakanlah: ""Sesungguhnya aku diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama ( Az-Zumar : 11)

Nabi s.a.w pula bersabda :-
إن الله لا يقبل من العمل إلا ما كان له خالصًا، وابتغي به وجهه
Ertinya : Sesungguhnya Allah swt tidak akan menerima amalan kecuali apa yang dibuat dalam keadaan ikhlas, berkeinginan kepada wajahNya ( Al-Bukhari, no 97, kitab al-Ilm)

APA ITU IKHLAS?
Imam Abu al-Qasim Al-Qusyairi, seorang ahli tasauf yang terkemuka memeberikan definisi Ikhlas sebagai:-
إفراد الحق سبحانه في الطاعة بالقصد، وهو: أنه يريد بطاعته التقرب إلى الله سبحانه دون أي شيء آخر؛ من تصنع لمخلوق، أو اكتساب محمدة عند الناس، أو محبة مدح من الخلق، أو معنى من المعاني سوى التقرب به إلى الله تعالى، ويصح أن يقال: الإخلاص تصفية الفعل من ملاحظة المخلوقين
Ertinya: Ikhlas adalah mengesakan haq Allah swt dalam segala amalan ketaatan dengan niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. Boleh juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan) dari segala segala perhatian manusia. ( Al-Risalah al-Qusyairiah, tahqiq Abd Halim Mahmud, 1/443)

Memang mudah untuk melafazkan kata ikhlas, mudah juga untuk cuba menyakinkan diri bahawa diri ikhlas dalam perjuangan, namun untuk benar-benar memastikan hati sentiasa istiqamah ikhlas kepada Allah swt, ia bukan satu tugas yang mudah, namun ia maha penting dan penentu masa depan kita tatkala berdepan dengan Allah swt kelak.

Ada yang berkata, ketidakiklasan itu boleh terlihat dek tanda-tanda dari mulut melalui cakap-cakap dan kata-katanya, dari tulisan melalui baris ayatnya, dari tindakan melalui memek wajah dan pergerakannya.

Apapun, persoalan utama bukanlah ghairah dan sibuk meneliti keikhlasan orang lain serta mempertikaikannya, tetapi adalah meneliti dan memperbaiki diri sendiri.

PENDAKWAH MELALUI CERAMAH
Pendakwah melalui medan ceramah hari ini sangat tercabar, Bukan kerana bimbang ditangkap kerana ketiadaan tauliah, itu tidak mencabar, Atau di kurung melalui akta ISA kerana sebab yang sepatutnya anda faham, Dibuang kerja kerana dakwahnya menentang arus politik kerajaan atau membelakangkan AUKU,

Sebenarnya, apa yang lebih mencabar adalah menjaga hati untuk ikhlas. Ada yang ‘jatuh' kerana beberapa ada tujuan baru yang mengambil alih tempat ‘ikhlas' kerana Allah swt iaitu :-

·         Keujuban di dalam diri : Ada penceramah yang merasa diri sebagai hero dan telah mencapai maqam pejuang berkorban persis Nabi Ibrahim a.s apabila mereka ditangkap, dipenjara dan didenda oleh pihak yang menghalang dakwah. 

Malangnya, ujian itu merosakkannya, hingga dirasakan diri terlalu hebat, lalu dinafikan ketulenan pejuang lain yang belum ditangkap sebagai amatur dan bertaraf rendah. Sama ada melalui tulisan, percakapan mahupun gerak hatinya.

Lebih menyedihkan jika peristiwa halangan ini mengubah niatnya kepada untuk terus menerus dilihat gagah dan berani dalam dakwahnya. Hilang habislah tujuan Allah dari hatinya.

·         Imbuhan dan bayaran : Penceramah sekali lagi digegarkan keikhlasan mereka akibat imbuhan dan bayaran. Mungkin pada mulanya ramai penceramah yang mampu berniat ikhlas kerana Allah, menyampaikan ilmu kerana menurut sunnah Rasululah s.a.w. Namun lama kelamaan, apabila nama menaik, muncul di kaca TV, di corong radio, berteleku di hadapannya para bangsawan, menteri, jutawan dan pembesar, ikhlasnya menjadi semakin terhakis.

Populariti menjadikannya semakin ‘sakit' di sisi Allah. Sebarang ceramah tanpa bayaran atau tidak menepati statusnya akan ditolak mentah atau dituntut tunggakan bayaran. Jika sekadar tambang dan kos-kos biasa, mungkin ia munasabah, namun apa yang dituntut dan diminta adalah tinggi menggunung tanpa mengira status pihak yang menjemput. Di ketika itu, Imbuhan dan bayaran telah mengambil tempat Allah swt dalam hatinya.

·         Kecintaan kepada pujian : Penceramah juga diserang oleh rasa cinta kepada pujian manusia, segala isi ceramah cuba difikirkan apa yang sesuai dan disukai oleh pendengar, jika pendengar sukakan gelak, seribu satu macam ceritera lucu mengundang tawa akan dimainkan.

Jika pendengar sukakan dalil-dalil dan kata-kata ulama dan para sahabat akan dipersembahankan,

jika pendengar sukakan ‘nota kaki' dan nama kitab, itu juga akan digariskan dan disebutkan dengan lancar lagak seorang mujtahid ulung.

Benar, ada yang mampu untuk terus ikhlas, menyediakan semua itu bagi menambah keberkesanan ceramahnya, membawa manusia kepada Allah swt, namun tidak sedikit yang ikhlasnya menjadi pudar, lalu semua itu disediakan agar dilihat,

‘Hebat', ‘Alim', ‘Pakar' ‘Bijak', ‘Best', ‘Sarjana', ‘Setaraf Tok Guru', ‘Persis Mujtahid' dan pelbagai lagi tujuan-tujuan salah yang dimomokkan oleh Syatian setiap hari.

Di benak para pendakwah melalui ceramah ini, sentiasa berusaha untuk ikhlas kerana Allah, namun Syaitan sentiasa berjuang merosakkan ikhlasnya dengan apa yang tersebut di atas malah berpuluh lagi cara. Ya Allah, alangkah mencabar dan sukarnya untuk mengekalkan keikhlasan dalam perjuangan melalui medium ceramah.

PENDAKWAH MELALUI TULISAN
Ada di kalangan insan yang soleh lagi baik ini, tidak berkemampuan dalam bertutur lancar dan menawan. Namun dianugerahi kelebihan menulis yang baik dan mengkagumkan. Lalu pendawkah ini mula mengorak langkah menulis buku-buku, membuka web sendiri dan blog, menyebar ilmu melalui tulisannya di forum-forum maya, majalah, buletin dan sebagainya.

Niatnya hanyalah satu, iaitu menyebarkan ilmu bagi mendekatkan manusia kepada Allah swt, redha Allah adalah objektif.

Namun, dari semasa ke semasa, objektif unggul itu boleh sahaja menjadi pudar akibat :-
a- Royalti dan Honorium
Hasrat dunia sekali lagi boleh menjadi penghalang bagi seseorang penulis untuk istiqamah dalam keikhlasan. Royalti dan honorium sudah mengambil tempat ‘Kerana Allah',  tujuan dan objektif tertinggi yang sepatutnya ‘Akhirat' sudah berubah nama kepada ‘Dunia'

     "Jika demikian, kita menulis secara percuma, menyerahkan manuskrip buku kepada penerbit tanpa perlu sebarang royalti dan honorium" Demikain tegas beberapa rakan pendakwah, berusaha mencapai penerusan dalam ikhlas. Mujahadah dan menjerat nafsu agar tunduk kepada niat yang tulus ikhlas. 

"Tidak semestinya berjaya juga, ikhlas tidak semestinya tanpa bayaran dan honorium, ia di dalam hati" Terang saya mengingatkan diri.

      Matanya mula berkerut mendengar ayat ringkas saya itu. Namun akhirnya dia terangguk-angguk tanda faham tanpa memerlukan penjelasan lanjut. 

Manakan tidak, seseorang mungkin boleh membuang semua habuan harta itu untuk mencapai ikhlas, namun ikhlas belum tentu boleh wujud semudah itu.

      Perasan diri ‘hebat', ‘merasa diri ikhlas kerana tidak mengambil habuan harta', rasa diri lebih ikhlas dari mereka yang menerima royalti, suka dan gembira menerima pujian orang sekeliling yang mengisbatkan dirinya sebagai ikhlas kerana tidak mengambil royalti dan honorium juga adalah ‘pembunuh' sebuah keikhlasan yang tulen. 

Sebenarnya keikhlasan itu boleh wujud sama ada di ketika seseorang pendakwah menerima imbuhan wang hasil penulisan dan ceramahnya, atau juga sebaliknya. Apa yang terdetik di dalam hati serta menjadi tujuan diri, itulah jawapannya.

Jika honorium dan royalti tidak memberi kesan kepada hati dan niat asal perjuangannya, ia masih boleh mengekalkan  Ikhlas di sisi Allah walau menerima gunungan royalti.

Jika pujian dan apa jua pujian orang terhadap penulisannya dan ketegasannya sehingga menolak sebarang bayaran hasil tulisan dan ceramahnya itu tidak berbekas di hati dan bermuzik indah di mindanya. Ia telah ikhlas.

Itu tandanya apa juga yang dari manusia sudah tidak memberikan kesan kepada hatinya, hanya redha dan cinta Allah yang ditagihinya. Yang lain hanyalah sampingan, wujud dan tiadanya tidak memberi kesan kepada jiwa.

Bagi individu ikhlas yang mengambil royalti, apa yang diperolehi pasti digunakan bagi menambahkan amal bakti kepada umat Islam yang kurang bernasib baik atau menjalankan tanggung jawab dan kewajiban yang tertanggung ke atas dirinya. Hasilnya kebajikan akan berganda hasil royalti dan honorium yang diterima.

Bagi yang menolak royalti serta mampu mengekal ikhlas, lalu disunyikan tindakannya itu dari pengetahuan segala macam manusia, agar tidak terganggu hatinya dengan pujian menggunung. Jika diketahui sekalipun, hatinya tidak sama sekali terbekas dengan kata-kata manis manusia, tidak pula dia merasa dan memandang rendah kepada mereka yang menerima royalti.

Orang lain tidak perlu ukur ikhlas orang lain, tidak perlu juga mempertikai atau mengiakan keikhlasan seseorang. Cukuplah masing-masing mengukur keikhlasan dirinya dan fikirkan tentangnya sentiasa.

·       Pujian, nama dan selebriti

‘Aku menulis bukan kerana nama' Itulah laungan lagu yang sudah sekian lama kita dengari.

Pendakwah mungkin menulis di peringkat awalnya, hanya kerana Allah. Namun di ketika pujian mencurah-curah datang tanpa ditagih. Hatinya kian terganggu, bukan apa...

Terganggu apabila beberapa tulisannya tidak dipuji sebagaimana sebelumnya

Tatkala itu, keikhlasannya hancur. Tempatnya diambil oleh ‘Tuhan baru' iaitu ‘pujian' dan ‘sanjungan'. Redha manusia menjadi objektif barunya kini. Semuanya kerana dia menyedari sanjungan itu akan boleh membawanya kepada mencipta nama, bukunya boleh menjadi ‘best seller' kerana peminat fanatiknya itu, wang boleh mencurah jatuh ke atas ribaan.

Tatkala itu, diri sendiri seolah sudah memberi gelar kepada dirinya sendiri,
"aku sudah menjadi seorang selebriti kerana tulisanku"

Kalau tidak diakui sendiri, tatkala ada rakan lama yang berkata :
"wah!, engkau sudah jadi selebriti sekarang ini, tahniah"

Dengan kadar beberapa saat minda, hati dan perasaannya mengakui hakikat itu dan merasa sedikit bangga dengannya. Tanpa disedari, mengakui keselebritian diri itu tanda kita sedang ditipu oleh dunia. Lebih ‘sakit'apabila kebanjiran manusia yang membeli buku, melawat web atau blog, yang menjadi rakan di facebooknya, kemunculannya di TV dan Radio dilihat sebagai indikasi bahawa dirinya sudah layak bergelar ‘selebriti'‘public figure' yang menggembirakan.

Apa yang patut dibuat sepatutnya adalah, hati wajib menafikannya serta segera menarik hati dan jiwa kepada persoalan berikut:
"Adakah aku sudah berjaya menjadi selebriti atau ‘public figure' penulis (atau penceramah) di sisi Allah, pada pandangan Allah?, Bukankah itu tujuan asal kita?"

Saya teringat kata-kata sahabat besar, iaitu Ibn Mas'ud r.a , ketika beliau keluar berjalan, kerap ada ramai yang mengikutnya, bagi mendapatkan ilmu darinya, lalu beliau berkata kepada khalayak yang mengikutinya:
علام تتبعوني؟ فوالله لو تعلمون ما أغلق عليه بابي ما اتبعني منكم رجلان
Ertinya : Atas sebab apakah kamu semua mengikutiku? Demi Allah kalau kamu tahu apa yang aku lakukan dibalik pintuku yang tertutup nescaya tiada siapa yang akan mengikutiku lagi. ( Ihya Ulumiddin, Al-Ghazzali & Tafsir Ibn Kathir, 6/343)

Justeru, maka sedarilah diri yang mudah lupa, Syaitan sentiasa berusaha menghancurkan kewarasan iman kita. Ikhlas kita sering menjadi sasaran sang Syaitan, untuk dilupuskan.  Bukankah ia sebuah ujian yang sukar buat para pendakwah. ? Ya tentunya, malah mungkin lebih sukar dari ditangkap dan dipenjara jasad. Hati yang terpenjara dengan niat selain Allah adalah sebesar-besar kegagalan manusia, yang sepatutnya menjadi hamba dan khalifah Allah swt.

·       Ahli akademik, Pangkat dan gelaran

Sebahagian pendakwah dari kalangan penulis terdiri dari golongan bijak pandai di Universiti, khususnya di fakulti-fakulti yang melibatkan Islam. Mereka banyak mengkaji dan menulis hasil kajian mereka dan seterusnya disiarkan melalui buku, jurnal, pembentangan di konferen dan seminar dan sebagainya. Niat asal tidak lain tidak bukan hanya mencapai redha Allah dan mencerahkan manusia kepada jalan keredhaan Ilahi. Merungkai yang kusut, menjernih yang keruh, melurus yang bengkok dan memurnikan yang bergolak.

     Namun, sebagaimana pendakwah yang lain, kumpulan ini juga turut digoda dan akhirnya niat ikhlas tersasar dari landasannya. 

Seorang pensyarah universiti terlihat saya sedang menulis dengan tekun lalu menyapa :
"Tengah menulis apa?"
"Tengah siapkan sikit lagi buku baru saya" jawab saya ringkas
"Buku tentang apa? Rugi kalau tulis sekarang ni, tunggulah dah siap PhD nanti. Tulis buku sekarang ini tak masuk dalam kiraan merit" katanya tanpa rasa malu dan segan.

"Berkenaan kewangan Islam, ooo ye ke tak masuk dalam merit, tapi tak mengapalah" jawab saya semula, cuba ambil hati beliau yang sibuk memikirkan soal merit.

      "Tapi kalau rasa nak jual buku dan ambil royalti aja, pun ok juga" katanya lagi sambil tergelak kecil dan kemudiannya berlalu pergi. 

Saya hanya mampu memberikan senyuman tawar kepadanya.

Saya sebenarnya sedikit kesal dengan mentaliti pensyarah sedemikian, jelas sungguh apa yang dalam benaknya hanyalah merit  dan wang. Tidak terfikir olehnya kalau ada seseorang menulis kerana Allah dan mencapai redha Allah walau tidak peroleh merit ataupun royalti. Mungkin agaknya terlalu pelik di zaman ini? Mari sama-sama kita berusaha mencapainya..menjadi orang pelik di akhir zaman !

Memang ramai dari kalangan ahli akademik yang menulis kerana mengejar merit untuk melayakkan diri mendapat kenaikan gaji dan pangkat. Kerap kali terdengar perbincangan di kalangan mereka hanya berkisar tentang naik pangkat, mesti capai prof madya segera, naik gred gaji, jurnal antarabangsa dan seumpamanya,

Justeru itu, tulisannya digubah indah lagi rumit dipenuhi bahasa-bahasa akademik, katanya "khas untuk pembacaan bijak pandai". Ya itu perlu bagi menunjukkan kebijaksanaannya. Jurnal-jurnal menjadi ‘kegilaan' ahli akademik di zaman ini, begitu banyak senarai jurnal dalam catitannya, sama ada jurnal kelas tinggi, sederhana dan rendah.

Hidupnya di bilik sejuknya digadaikan untuk menghasilkan kajian dan penulisan cemerlang di mata majlis editor pakar sesebuah jurnal yang dicintainya. Jika tidak sedemikian, ada pula yang menulis untuk konferen besar, mulanya niat adalah untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat antarabangsa, agar mereka turut mendapat redha Allah, namun malang di pertengahan jalan, niat tersasar.

Populariti serta networking yang ditagih dalam konferen dan seminar besar yang dihadirinya, semua diniat untuk menambah kenikmatan dunia. Ya, harapannya untuk menaikkan pencapaian diri di dunia dengan kepujian, dilihat 'berjaya oleh sanak saudara dan taulan. Tidak lupa juga untuk membawa pulangan harta juga. Akhirnya, niat ikhlas kerana Allah menjadi semakin terpadam, sedikit demi sedikit hingga tidak tinggal satu apapun amalannya yang dilihat oleh Allah swt.


PENDAKWAH MELALUI POLITIK, JAWATAN DAN PANGKAT
Ada sekumpulan pendakwah, berjuang Islam dan mencari redha Allah melalui jalan politik, jawatan yang dipegang yang yang ‘ingin dipegang'.

Di dalam hati mereka seolah tertulis, ingin melaksanakan yang terbaik untuk mencapai maqam terbaik di sisi Allah, lalu jalan ini diambil selain jalan-jalan sampingan yang lain juga turut digunakan.

Namun liciknya Syaitan, dengan mudah sahaja seorang pendakwah Islam melalui medium politik boleh jatuh tersungkur di sisi Allah. Akhirnya dia berjuang bukan lagi kerana Islam dan redha Allah, tetapi keranakecintaan kepada penyokong yang ramai, pangkat, pejabat besar dan puja puji orang bawahan.

Lebih parah, apabila dipandang hina semua pendakwah yang tidak berjuang sepertinya atau ‘ tidak berjuang melalui jalan politik'. Dirasakan mereka itu semua bacul, penakut, sebahagiannya munafiq, tercicir di jalan dakwah, hanya ingin berjuang dalam comfort zone, pendakwah ‘mee segera' dan pelbagai lagi perasaan benci dan gelaran buruk kalau boleh disebatikan dengan pendakwah yang tidak sepertinya.

Tatkala itu, hancurlah amalannya, bukankah telah disabda Nabi s.a.w bahawa ‘ujub itu menghancur amalan. Lebih jauh dari itu, digelar pula dirinya sebagai mujahid, pejuang Islam tulen atau pelbagai gelaran lain bagi menunjukkan dirinya sedang berjuang dengan gagah berani lagi sengit. Tidak seperi pendakwah lain.

Sepatutnya, jika gelaran ‘mujahid' itu diberi orang, janganlah dia terkesan dengannya, kerana dirinya mungkin dilihat pejuang di sisi manusia, namun belum tentu di sisi Allah. Orang yang berjuang boleh berdoa agar tergolong di kalangan pejuang, namun untuk melabelkan diri sebagai ‘pejuang', itu bukan caranya. Biar Allah sahaja menentukan kita adalah pejuang atau tidak. Tugas kita adalah sentiasa memastikan kita layak melalui ikhlas dan rendah diri.

Cabaran pendakwah melalui medan politik memang besar, ia boleh datang dari pihak sekular yang membencinya, lalu digunakan kuasa untuk menekan dan mengancamnya. Ia juga boleh datang dari Syaitan durjana yang jauh lebih professional dari manusia yang terlihat dek mata.

Boleh sahaja, perjuangan itu tersasar kerana keinginan kepada ‘kuasa' terlebih dari sepatutnya. Tatkala itu keikhasannya pudar dan semakin terpadam. Akhirnya takala dia sudah memegang kuasa, jawatan, apa yang dijanjikan kepada Allah sebelum ini dilupakan, kerjanya untuk mencapai redha manusia dan pengundinya menjadi semakin dominan berbanding redha Allah. Tatkala itu hancurlah dia pada pandangan Allah swt.

PENDAKWAH MENUNTUT ILMU
Selain berdakwah dengan mengajar, pendakwah juga sentiasa berterusan belajar dan terus belajar. Hasil ilmu asas yang baik dalam diri, dijadikan modal untuk meneruskan pembacaan dan galian ilmu yang tiada tara dalamnya.

Namun, seseorang yang menuntut ilmu sering diingatkan nabi sa.w.w agar berterusan menjaga keikhlasan. Ilmu yang dicari dan digali dengan niat menunjuk lebih pandai dan alim, jaguh berdebat, mengelirukan orang ramai, menutup kesalahan diri dan seumpamanya, akan pasti membuahkan ilmu-ilmu yang memporak perandakan masyarakat, bukan menyatukannya.

Bukankah ilmu sepatutnya membawa kepada Allah, dan semua pihak yang bersama Allah akan bersatu padu. Itulah formula yang ditegas oleh Allah swt :
وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعاً مَّا أَلَّفَتْ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَـكِنَّ اللّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ
Ertinya : Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka ( Al-Anfaal : 63)

Namun hari ini, Negara kita semakin ramai pendakwah dan ilmu yang digali dari pelbagai jenis Negara dan guru. Malangnya, manusia dan umat Islam khususnya tidak semakin tenang, tetapi semakin bergolak. Lebih tinggi ilmu mereka ini, lebih bergolak dan berpecah orang di bawahnya. Kerana apa?

Banyak sebabnya, boleh sahaja menyalahkan Syaitan dalam hal ini, namun tidak kurangnya adalah si ilmuan, pendakwah dan penuntut ilmu yang menuntut bukan ikhlas kerana Allah, tetapi atas kepentingan diri sendiri dan kumpulan yang dicenderunginya.
Dirinya merasakan sedang berjuang habis-habis menghapuskan kemungkaran dan kekeliruan dalam agama.

Dirasakan dirinya sedang adalah sentiasa di pihak yang benar lagi tepat. Hingga kebenaran yang dirasakan berada di pihaknya itu menghalalkan dirinya untuk menyesat, mengkafir, membid'ahkan dan menghukum orang dan pihak lain. Seolah tiada lagi ruang dan kemungkinan, kebenaran berada di pihak yang satu lagi.

Akhrinya, syaitan mengambil alih, mengubah niatnya dari menuntut ilmu secara ikhlas untuk mencapai redha Allah kepada menuntut ilmu agar boleh mempertahankan kumpulannya, ideanya, maruahnya, dan periuk nasinya. Lalu malang mereka...apakah yang boleh menyedarkan mereka ? Wallahu'alam.

KESIMPULAN
Tulisan ini sebenarnya lebih kepada peringatan buat sendiri. Cuma ia disiarkan untuk dimanfaatkan oleh mana-mana rakan pendakwah yang sudi mengambil manfaat.

Ia merupakan peringatan kepada salah satu cabaran terbesar buat para individu yang menceburi bidang dakwah, namun terlupa akan cabaran ini. Akhirnya minda dan hati, menjadi sarang yang busuk dek kuman dan virus Syaitan. Bimbang matinya kita kelak, merasa diri sudah berjuang dan berdakwah tetapi dilihat SEBALIKNYA oleh Allah swt.

Sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa, sejak dahulu lagi, iaitu :-
إن أول الناس يقضى يوم القيامة عليه رجل استشهد, فأُتي به فعرفه نعمه فعرفهاقال: فما عمِلتَ فيها؟ قال: قاتلت فيك حتى استشهدت, قال: كذبت, ولكنك قاتلت لأن يقال: جريء, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل تعلم العلم وعلّمه, وقرأ القرآن, فأتي به فعرفه نعمه فعرفهاقال: فما عملت فيها؟ قال: تعلمت العلم وعلّمته, وقرأت فيك القرآن, قالكذبت, ولكنك تعلمت العلم ليقال: عالم, وقرأت القرآن ليقال: هو قارئ, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل وسّع الله عليهوأعطاه من أصناف المال كله, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: ما تركت من سبيل تحبّ أن ينفق فيها إلا أنفقت فيها لك, قال:كذبت, ولكنك فعلت ليقال: هو جواد, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه, ثم ألقي في النار
Maksudnya (ringkasan terjemahan) :
Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah  mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya : Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid
Dibalas : Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar "SANG BERANI"
maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Ditanyakan kepada (orang kedua) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya : "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al-Quran"
Dijawab semula : Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘ALIM, kamu membaca Al-Quran agar digelar "QARI" maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.
Ditanyakan kepada (orang ketiga) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?
Jawabnya : "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"
Dijawab semula : "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar "DERWAMAN"
maka dikatakan kepada Malaikat, lalu telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka ( Riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah)

Semoga kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya. Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah. Mereka itulah yang disebut dalam hadis:-
أرأيت الرجل يعمل العمل من الخير، ويحمده الناس عليه؟ قال: "تلك عاجل بشرى المؤمن
Ertinya : Ditanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?. Jawab baginda : Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para mukmin" ( Riwayat Muslim)

Ibn Qayyim pernah berkata berkata : "Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat."

Benarlah, bahawa ikhlas bagi adalah satu ujian yang lebih malah sangat sukar bagi seorang pendakwah dan mukmin. Bagi lagi medium yang diceburi pendakwah termasuklah seni, drama, nasyid dan pelbagai lagi. Namun semua akan menghadapi cabaran besar ikhlas, ia sebuah cabaran yang sangat sukar...

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
5 Zulhijjah 1430 H
1 Disember 2009