Kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai
oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan
keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat
183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan'
ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya
kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul
qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta
keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan
kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat
Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan
kerana uzur yang diterima Islam).
Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa
uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia
dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang
membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam,
Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya
kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya :
"sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa
baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam.
Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat
keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah
dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah
waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah
1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan
melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh
Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain.
Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya
adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu
bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :"
Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada
hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi,
no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih.
Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah
penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya
"Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu
malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan
witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya
untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka
adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.
5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.
Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah
syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada
keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan
menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.
6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih.
Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa.
Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu
berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan
oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh
pahala menghidupkan seluruh malam.
7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.
Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama
seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk
meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah
sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat
al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat".
(Riwayat al-Bukhari)
8 ) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari
Dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat
dengan niat ibadat pastinyamenambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam
sewajarnya memperaktifkanproduktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di
Ramadhan ini.
9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan
tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ;
Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur.
Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran
oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu
sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi
waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun
dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang
disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar
sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)
11) Wanita berterawih beramai-ramai dimasjid tanpa menjaga aurat.
Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid,
malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan
naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka
solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki
ketika di masjid.
12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta
haram,
Samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan
kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata
kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat
dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa
azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan'
ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke
pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan
yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia
mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan
makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan
dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya.
( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan
keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram,
simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka
baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang
haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka.
Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW
telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang
adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di
zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir :
Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan
hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir
berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753,
Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Renung-renungkan & Selamat beramal
Saya ada satu epal, anda ada satu epal. Kita tukar epal, anda ada satu dan
saya tetap ada satu.
Jika anda ada satu ilmu dan saya ada satu ilmu, kemudian kita tukar ilmu
tersebut, anda ada dua ilmu dan saya ada dua ilmu...
Titek Noraslinda Binti Abdul Rahim
Clerk | Engineering
Sime Darby Engineering Sdn Bhd
07-2538587 | 07-2538005 | 017-7957478 | taslinda.arahim@simedarby.com
No comments:
Post a Comment