Posted by towardsmardhatillah under Islamic Studies
Menerusi perkembangan institusi ilmu perubatan, pelbagai kaedah diperkenal dan digunakan dalam kehidupan masyarakat manusia dari zaman ke zaman. Ketamaddunan institusi perubatan juga dikaitkan dengan penemuan pelbagai kaedah perubatan. Antaranya ialah penemuan herba-herba, akar-akar kayu dan seumpamanya. Penemuan herba-herba atau akar-akar kayu akan dianggap dan dinilai sebagai ubat atau penawar setelah ia benar-benar teruji keberkesanannya oleh individu yang bertungkus-lumus membuat rumusan terhadap hasil kajiannya. Ada kalanya hasil kajian agak positif dan ada kala berlaku sebaliknya.
Selain daripada penggunaan herba dan akar-akar kayu, perubatan menerusi jampi serampah dan pertolongan makhluk halus seperti jin dan syaitan yang dipercayai dapat mengatasi sesetengah masalah penyakit yang sukar ubati. Kaedah perubatan sebegini dikenali sebagai kaedah perubatan tradisional (klasik). Bagi individu yang mempelajari dan menguasai kaedah tradisional ini biasanya akan digelar sebagai Tok Bomoh, Tok Batin, dukun atau sebagainya selepas individu tersebut berjaya menunai serta menjaga pantang larang semasa mengamalkan cara tradisional ini .
Dalam menyusur zaman yang semakin moden, kaedah perubatan juga semakin banyak mengalami perubahan yang dianggap telah dipengaruhi oleh budaya Barat. Pada hakikatnya, anggapan ini salah. Sebenarnya ketamaddunan bangsa Eropah dalam bidang perubatan di Barat merupakan hasil daripada limpahan kajian sains yang dicedok daripada tokoh-tokoh cendikiawan Islam di bumi Andalusia dan Qardoba di awal dan pertengahan pemerintahan kerajaan Bani Abassiyah. Dengan meluasnya empayar Islam ke seluruh pelusuk alam, penguasaan ilmu juga turut tersebar meluas. Ada dikalangan bangsa Eopah yang memeluk Islam kerana tertarik dengan kemajuan dan penguasaan bidang ilmu seperti ilmu matematik dan geografi yang dikuasai oleh umat Islam. Malah ada juga dikalangan mereka yang tertarik dengan kemajuan dan kesungguhan umat Islam pada ketika itu. Meskipun begitu golongan ini hanya menerima kemajuan dan penguasaan bidang-bidang ilmu sahaja dan menolak akidah Islam.
Sepanjang tempoh ini, pelbagai penemuan formula ubat-ubatan turut dihasilkan daripada berbagai bahan yang dinamakan dengan pelbagai istilah sains dan ianya berkembang pesat hingga ke hari ini. Bagi individu yang mempelajari dan menguasai kaedah moden ini biasanya akan digelar sebagai doktor perubatan setelah lulus syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak universiti bagi fakulti tersebut. Walau apapun perubahan dalam institusi perubatan, kaedah tradisional dan kaedah moden tidak pernah disingkirkan daripada pemikiran dan kehidupan masyarakat manusia. Dalam masa yang sama, kedua-dua kaedah perubatan ini tidak dapat dipisahkan daripada tinjauan dan pengamatan saikologi terhadap diri si pesakit. Fenomena ini juga tidak terkecuali berlaku dalam masyarakat Melayu khususnya di Malaysia.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, istilah bomoh ditakrifkan dengan maksud mengubati penyakit atau pengubat penyakit. Manakala dalam minda pemikiran masyarakat Melayu khususnya di Malaysia, bomoh ditakrifkan dengan maksud mengubati penyakit atau pengubat penyakit secara tradisional. Namun takrifan bomoh adalah berbeza jika ditinjau dari segi penggunaan serta maksudnya dalam masyarakat Melayu di Selatan Thai seperti di Narathiwat, Songhkla, Pattani dan Yala. Masyarakat Melayu di Selatan Thai mendefinisikan bomoh sebagai satu kaedah perubatan yang meliputi semua kaedah perubatan sama ada kaedah tradisional atau kaedah moden. Meskipun begitu, walau apapun definisi yang labelkan oleh pelbagai lapisan masyarakat Melayu di seluruh pelusuk dunia, sejarah perkembangan Islam membuktikan bahawa bomoh atau mengubati penyakit adalah harus hukumnya dengan syarat kaedah bomoh sama ada melalui jampi, pengamatan saikologi, penggunaan herba dan akar-akar kayu tidak menyalahi akidah Islam.
Dalam satu peristiwa ketika Rasulullah berada dalam keadaan nazak sakit kerana terkena sihir, Jibrail alaihisalam datang menghampiri Baginda Rasul seraya bertanya “ Wahai Muhammad adakah engkau sakit? ” Jawab Rasulullah secara spontan “ Ya” Lantas Jibrail a.s menjampi Rasulullah “Dengan nama Allah aku menjampimu………….. daripada segala penyakit yang menganggumu………dari segala kejahatan jiwa dan mata orang yang berdengki……………Allah menyembuhkanmu…….dengan nama Allah aku menjampimu……..”
Dalam peristiwa ini, Jibrail a.s secara terang-terang membomohi Rasulullah melalui kaedah jampi yang diikat kuat dengan nama Allah sebagai tambatan akidah. Dengan kata lain, usaha dan ikhtiar yang diajar oleh Jibrail a.s adalah bertujuan untuk membersihkan jiwa dan pemikiran umat Islam daripada melakukan syirik terhadap Allah.
Mafhum firman Allah:
Dan hendaklah kamu semua menyembah Allah dan jangan sekali-kali menyekutukanNya dengan sesuatu. ( Surah al-Nisa’, ayat 36)
Mafhum firman Allah:
Dan sesiapa yang menyekutukan Allah maka sesungguhnya dia telah sesat dalam kesesatan yang amat jauh. ( Surah al-Nisa’, ayat 116)
Mafhum firman Allah:
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampun dosa orang yang melakukan syirik terhadapNya dan Dia akan mengampun dosa selain daripada dosa syirik kepada sesiapa yang Dia kehendaki. (Surah al-Nisa’, ayat 48)
Namun begitu, masih ada lagi keraguan dan salah tafsiran terhadap institusi perubatan tradisional dalam pemikiran masyarakat kini. Mereka tidak dapat membezakan antara bomoh (perubatan secara tradisional sama ada yang diharuskan oleh syarak ataupun sebaliknya) dan juga nujum. Nujum merupakan istilah bahasa Arab yang bermaksud bintang. Nujum juga membawa maksud kihan, iaitu menilik nasib baik atau buruk yang bakal menimpa. Ini termasuklah mempercayai perkara-perkara khurafat seperti bunyi suara burung hantu sebagai tanda akan berlaku kematian dan seumpamanya yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat Arab dan juga Melayu dari satu generasi ke genarasi seterusnya. Bagi mereka bernujum merupakan serpihan daripada bidang keilmuan perdukunan yang hebat lagi aneh.
Tanggapan sebegini sememangnya adalah merupakan tanggapan yang salah dan tidak berasas. Ini kerana bernujum merupakan aktiviti menilik dan merenung nasib. Dalam suatu riwayat hadith daripada Siti Aisyah radhiya Allahu anha, beliau berkata:Rasulullah pernah ditanya oleh orang ramai tentang golongan al-kihan ( tok nujum). Maka Baginda Rasul menjawab; “ Golongan ini bukannya hebat” . Lantas mereka berkata “ Wahai Rasulullah ! Sesungguhnya golongan ini memberitahu kami sesuatu perkara dan ia adakalanya menjadi kenyataan (berlaku)” Lalu Rasulullah menjawab “ Kalimah (berita) yang dinyatakan itu merupakan satu kebenaran yang disampaikan oleh jin ke telinga al-Kihan (tok nujum) dan kemudiannya mereka mencampur adukan kalimah (berita) tersebut dengan seratus bentuk penipuan” ( Hadith Muttafaqun alahi).
Nujum atau kihan merupakan salah satu kaedah pengamalan ilmu sihir. Dalam pada itu, para cendikiawan Islam berselisih pendapat tentang pembelajaran serta pengamalannya. Menurut sebahagian ulamak seperti al-Imam al_Fakhru Razi dan al-Alusi mengatakan bahawa hukum mempelajari ilmu sihir adalah harus berdalilkan sebuah kisah Nabi Sulaiman yang mengetahui tentang ilmu sihir dan kisah dua malaikat (Harut dan Marut) yang mempelajari ilmu sihir di negeri Babil. Peristiwa ini dijelaskan oleh Allah Taala dalam surah al-Baqarah, ayat 102. Walaubagaimanapun pengamalan dan pembelajaran ilmu sihir hanya dibenarkan atas dasar ingin menguasai salah satu cabang ilmu serta berasas kebaikan dari segi syarak dan tidak bercanggah dengan akidah Islam.
Susulan ini, para fuqaha Islam seperti al-Imam al-Syafie berpendapat bahawa Seseorang itu tidak menjadi kufur dengan mempelajari ilmu sihir. Menurut al-Syafie, seseorang yang membunuh individu lain dengan menggunakan ilmu sihir wajib di balas bunuh (qisas).
Manakala bagi Jumhur ulama` pula berpendapat bahawa hukum mempelajari ilmu sihir adalah haram berdalilkan apa yang dinyatakan oleh al-Quran tentang ilmu sihir dalam bentuk atau status yang tercela. Hal ini turut disepakati oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Ahmad bin Hanbali dan Ibn Syuja’. Golongan ini juga berhujjah dengan sebuah hadith Rasulullah yang menyenarai tujuh dosa besar, antaranya ialah ilmu sihir. (hadith diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim). Menurut Ibn Hayyan, ilmu sihir yang melibat syirik terhadap Allah Taala seperti mengEsakan serta mengagungkan makhluk-makhluk ciptaanNya hukumnya adalah kufur secara ijma`.
No comments:
Post a Comment