Pages

04 October 2010

DOA - APA YANG TELAH DIBERI VS. DENGAN APA YANG DIPINTA.

Oleh : Pahrol Mohd Juoi



Tidak kira sama ada doa itu dalam keadaan terdesak atau semata-mata menunaikan kewajipan, setiap doa pasti Allah beri perhatianAllah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku nescaya aku (Allah) akan perkenankan.” (Surah Ghafir : 60 )
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu.” (Riwayat al-Tirmizi no. 3556 dan Abu Daud no. 1448)
Lihat betapa hebatnya sifat Pemurah dan Pengasih Allah, Dia bukan sahaja memerintahkan kita berdoa, malah Dia mengajar apa yang patut kita doakan dan bagaimanakah caranya kita harus berdoa. Tidak cukup sekadar itu, Allah berjanji untuk mempertimbangkan doa-doa itu. Sebuah syair mengungkapkan hakikat ini dengan begitu indah sekali:
“Allah s.w.t. murka jika engkau tidak memohon kepada-Nya. Sebaliknya manusia murka apabila kau sering minta kepadanya.”

Berdoa itu satu langkah yang produktif. Bahkan menurut pandangan ulama tasawuf, apabila Allah telah ringankan lidah seseorang hamba-Nya untuk berdoa, itu petanda Allah telah memberi lampu hijau untuk memperkenankan doa itu. Kata Imam Ibn Ataillah: “Tatkala Allah membukakan mulut anda dengan bermohon kepada-Nya maka ketahuilah, sesungguhnya Allah berkehendakkan doa anda diperkenankan.”
Yakinlah bahawa apabila Allah mengilhamkan kepada hati kita untuk berdoa, maka sudah tentu Allah akan memperkenankan doa kita itu. Tetapi jika Allah tidak berkehendak memperkenankan sesuatu doa, maka sudah tentu Dia tidak mengilhamkan kepada hati kita ke arah itu.
Bukan mudah bagi seorang hamba Allah mengerakkan hati dan lidahnya untuk berdoa jika tidak kerana taufik dan hidayah Allah. Apabila hati dilembutkan untuk berdoa, bererti seseorang itu telah berasa kefakirannya di hadapan Allah. Apabila kita sudah benar-benar berhajat kepada-Nya, maka Allah pasti tidak akan mengecewakan hajat kita itu.  
Sebenarnya doa itu sendiri merupakan satu kurnia daripada Allah. Malah doa itu adalah modal asas yang memungkinkan seseorang itu menerima kurnia-kurnia Allah selanjutnya. Malangnya, orang yang mengetahui hakikat ini tidak ramai dalam kalangan kita. Firman Allah yang bermaksud:
“Apakah ada siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa, dan menghilangkan keburukan dan menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada di samping Allah tuhan yang lain? Terlalu amat sedikit apa yang dapat kamu mengingati.” (Surah al-Naml 27: 62)

Hamba Allah yang benar-benar mengenal Allah (arif billah) dapat rasakan apabila seseorang itu diizinkan Allah untuk mengucapkan doa (ada sesetengah orang dikelukan lidah lalu tidak boleh berdoa) adalah lebih berharga daripada termakbulnya doa itu. Hal ini kerana seorang yang berdoa itu hakikatnya sedang berdialog dengan Allah. Bagi mereka, ini adalah satu anugerah Allah yang lebih bernilai berbanding apa yang diperoleh daripada doanya. Bukankah Pemberi hadiah itu lebih patut kita hormati dan kasihi daripada hadiah yang diberikan-Nya?
Mungkin ada yang bertanya apakah benar Allah akan memperkenankan setiap doa hamba-hamba-Nya? Jawabnya, ya jika apa yang kita ajukan itu doa yang benar dan elok. Dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang dibukakan pintu hatinya supaya berdoa, nescaya Allah bukakan padanya pintu-pintu rahmat. Dan tidak ada doa yang dipohon itu yang lebih disukai Allah selain daripada memohon kemaafan (keselamatan di dunia dan akhirat).” (Riwayat al-Tarmizi no 3548)
Jelas di sini, doa yang dimaksudkan itu mempunyai ciri-cirinya. Antara ciri-ciri doa yang baik ialah isinya mestilah ke arah memohon kemaafan dosa dan kesalahan terhadap Allah. Rentetan daripada itu mereka pasti berdoa akan keselamatan diri dan orang lain, bukan permusuhan dan kekacauan). Dan yang paling penting, berdoa dalam keadaan merendah diri dan penuh harapan.
Oleh sebab itu, janganlah berdoa dalam keadaan terlalu mendesak dan memaksa Allah. Itu bukan sifat seorang hamba yang baik. Untuk mengatasi sikap ini tanamkanlah ke dalam jiwa satu keyakinan bahawa nikmat yang telah Allah berikan adalah lebih banyak dan lebih bernilai daripada apa yang sedang kita minta dalam doa kita itu.
Cara Allah Makbulkan Doa
Bagaimanakah cara Allah memakbulkan doa hamba-hamba-Nya? Ini memerlukan penjelasan yang tersirat dan maknawi. Sesungguhnya akal kita yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas. Fahaman kita tentang makbulnya sesuatu doa mungkin hanya mampu menyingkap selapis daripada kenyataan itu, tetapi di sisi Allah punyai makna dan tafsiran yang berlapis-lapis.
Untuk menyingkap rahsia itulah Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang yang berdoa kepada Allah dengan doa kecuali Allah akan memberikan kepadanya, sama ada dengan dikabulkan segera di dunia lagi. Atau disimpankan untuknya kebaikan di akhirat atau ditutupkan (kifarat) dosanya setakat doanya selama dia tidak doakan unsur-unsur dosa, memutuskan silaturahim atau mohon disegerakan. Maka sahabat berkata: “Ya Rasulullah bagaimana doa minta segera itu? Baginda berkata; seseorang itu berdoa, aku berdoa tuhanku, maka perkenanlah segera.” (kata Abu Isa hadis ini gharib, sunan Al-Tarmizi, 3968)
Melalui hadis ini para ulama telah merumuskan bahawa doa itu dikabulkan menerusi pelbagai kaedah dan keadaan. Antaranya termasuk:
1. Doa Itu Dikabulkan Serta-Merta
Kebanyakan doa yang diajukan oleh para rasul dan nabi dikabulkan serta-merta. Doa Rasulullah s.a.w. menjelang perang Badar misalnya, dikabulkan oleh Allah serta-merta. Begitu juga doa Ibn Abbas r.a. ketika meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dahsyat. Belum pun sempat Ibn Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan telah turun mencurah-curah.
Begitulah juga dengan cerita bagaimana tiga orang pemuda yang berdoa dengan wasilah amal masing-masing apabila terperangkap dalam sebuah gua seperti yang diberitakan dalam sebuah hadis yang panjang lagi masyhur. Pintu gua itu tergerak (membuka ruang) serta-merta setiap kali salah orang mereka selesai berdoa. Inilah bukti jaminan Allah melalui firman-nya yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahulah mereka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah 2: 186)
2. Dikabulkan pada Waktu Lain
Acap kali juga sesuatu doa walaupun baik, dan datang daripada orang yang baik, pada waktu yang baik, tetapi Allah tangguhkan ke waktu lain. Hal ini kerana Allah sayangkan hamba-Nya itu. Allah sengaja berbuat demikian bagi mengujinya sehingga seorang hamba itu bersedia untuk menerima nikmat-nikmat-Nya. Misalnya, Allah kurniakan kekayaan apabila hati seorang hamba telah ada rasa syukur kerana memberikannya sebelum itu akan menjadikan seseorang itu kufur. Allah kurniakan kekuasaan setelah ada dalam hati seseorang ada rasa tawaduk dan sifat adil, supaya dia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.
Jika tidak bersedia, dibimbangkan nikmat itu boleh bertukar menjadi bala. Itulah yang disebut “istidraj” – yakni pemberian Allah yang merupakan satu kutukan dan memudaratkan untuk iman dan Islam seseorang yang derhaka kepada-Nya. Oleh sebab itu, sering kali juga Allah menahan pemberian-Nya kerana kasih sayang-Nya terhadap seseorang. Inilah yang dinukilkan oleh Prof Dr. K.H. Muhibbuddin Waly dalam bukunya Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf: “Sebab kadang-kadang Allah memperlambat dalam memperkenankan doa mereka kerana Allah sangat sayang dan cinta mendengar suara doa yang selalu diucapkan oleh hamba-Nya itu kepada-Nya.
3. Menghindarkan Bahaya
Doa kita kadang-kadang dikabulkan Allah dengan dihindarkan daripada bahaya yang mungkin datang. Kita tidak tahu apa bahaya yang ada di hadapan, lalu Allah datangkan halangan. Boleh jadi kita akan ditimpa penyakit yang kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnah atau sebagainya. Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah, Allah selamatkan kita sebagai ganti apa yang didoakan.
Hakikat ini sangat sulit untuk difahami kerana ditunaikan tanpa sedar. Mengapa? Yalah, kita minta yang lain, tetapi Allah berikan sesuatu yang lain. Namun yang lain itu lebih besar dan bernilai ertinya berbanding apa yang kita minta. Misalnya, kita minta kejayaan dalam perniagaan, sebaliknya Allah hindarkan kita daripada penyakit-penyakit kronik. Bukankah itu sesuatu yang lebih baik?
Ingatlah apa yang Allah tegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Difardukan kamu peperangan padahal kamu membencinya, boleh jadi ada yang kamu benci baik untuk kamu, dan boleh jadi apa yang kamu sukai tetapi itu mungkin membawa mudarat bagi kamu. Allah lebih mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al Baqarah 2: 216)
4. Allah Berikan Sesuatu yang Lebih Baik di Akhirat
Hidup di dunia cuma sementara. Akhirat itu yang lebih baik dan lebih kekal. Firman Allah, mafhumnya: “Dan akhirat lebih baik dan kekal.” (Surah al-A‘la 87: 17) Beruntunglah jika kita mendapat sesuatu kurnia di akhirat berbanding kurnia di dunia ini.
Sebagai perbandingan, sehelai rumput di syurga adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia. Kenapa? Kerana rumput di syurga itu lebih kekal berbanding sebutir mutiara di dunia. Itu baru sehelai rumput, bayangkan sebutir mutiara di syurga. Ia sesungguhnya, bukan sahaja lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di dunia.
Orang yang berdoa dan doanya tidak dikabulkan di dunia, akan dikabulkan doa itu di akhirat kelak, insya-Allah. Doa yang dikabulkan di akhirat itu sesungguhnya lebih baik dan kekal daripada dikabulkan di dunia lagi. Kadang-kadang Allah menahan kekayaan yang kita pinta di dunia kerana Allah hendak memberikan kita kekayaan di akhirat. Kekayaan di akhirat bererti syurga.
Menyedari hakikat ini, seharusnya kita tidak akan jemu berdoa dan tidak akan berputus asa hanya kerana doa kita belum ataupun tidak dikabulkan di dunia. Kita tahu doa itu akan menjadi “saham akhirat”. Oleh sebab itu, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita berdoa di dunia ini. Bagi orang yang yakin akan kehidupan di akhirat, mereka akan terus-terusan berdoa sekalipun doa mereka seolah-olah tidak dikabulkan di dunia ini.
Banyak doa-doa yang diajarkan oleh Allah kepada kita, manfaatnya untuk hari akhirat. Doa minta dimatikan dengan iman, masuk ke dalam syurga dengan iman, terhindar daripada api neraka, minta dibangkitkan dalam keadaan bersama-sama orang yang membuat kebaikan dan jangan ditempatkan bersama-sama orang yang zalim. Misalnya, Allah menganjurkan kita berdoa dengan doa ini: “Ya tuhan kami, berilah keampunan bagiku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim 14: 41)
5. Dijadikan Kifarat kepada Dosa-Dosa
Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan. Dosa adalah pendinding untuk kita mendapat bantuan, keampunan dan kasih sayang Allah. Kita mengharapkan dosa itu diampunkan dengan taubat. Dan untuk itu kita diwajibkan untuk bertaubat atas dosa-dosa yang kita sedari.
Namun, apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun telah menempuh syarat-syaratnya? Dan bagaimana pula dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari? Itu lebih sukar diatasi. Mana mungkin kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak melakukannya? Maka di sinilah peranan doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah s.w.t. Doa-doa itu menjadi sebab untuk dosa-dosa kita itu diampunkan walaupun bukan itu yang kita pohon daripada Allah s.w.t.
Orang yang berdoa kepada Allah, sentiasa disayangi-Nya. Tanda sayang Allah kepadanya ialah mengampunkan dosa-dosa orang itu walaupun dia tidak meminta ampun. Inilah kehebatan dan kebesaran sifat al-Afu (Yang Maha Pemaaf) dan al-Ghaffar (Yang Maha Mengampuni) Allah s.w.t. Salah satunya ialah Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya walaupun hamba yang berdoa itu tidak meminta ampun.
ADAB BERDOA
Walau bagaimanapun doa yang dipanjatkan masih tetap ada adab dan syarat-syaratnya. Selain adab-adab lahiriah, seperti menghadap kiblat, berwuduk (lihat adab-adab berdoa seperti yang dinyatakan), ada lagi adab batin (soal hati) yang lebih utama dilaksanakan. Antaranya termasuk:
i) Berdoa dengan penuh keyakinan
Hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan bahawa doa itu akan dikabulkan. Jangan ada rasa ragu, syak dan waham (waswas) waktu berdoa kerana Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang dalam hatinya berbolak-balik antara percaya dan tidak akan doanya diperkenankan. Jadi, sangka baik (husn zan) terhadap Allah itu penting apabila kita berdoa.
Bagaimana membina keyakinan dalam doa? Tentulah ini bersumberkan keyakinan kita kepada Allah s.w.t. Oleh sebab itu, kita terlebih dahulu mestilah mengenali sifat-sifat dan asma’ (nama-nama) Allah s.w.t.
Antara sifat Allah ialah al-Rahman, al-Rahim, al-Wahhab, al-Ghani, al-Razzaq, al-Afu, al-Ghaffar, al-Salam dan lain-lain lagi, pasti akan timbul keyakinan semasa berdoa. Apabila sudah kenal sifatnya, barulah kita boleh memohon kepada Allah dengan penuh yakin. Sebagai contoh yang paling mudah, apabila kita yakin seseorang itu pemurah, tentu kita yakin bahawa dia akan melayan permintaan kita. Apabila kita yakin seseorang itu kaya-raya, maka kita yakin dia mampu memberikan apa yang kita minta.
Oleh sebab itu, kita dianjurkan berdoa dengan menggunakan Asma’ al-Husna (nama-nama Allah yang baik) mengikut keperluan doa itu. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah dan berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” (Surah al-A‘raf 7: 180)

Satu cara lain untuk menambah keyakinan kita dalam berdoa adalah iringilah doa itu dengan usaha dan persediaan yang baik. Keyakinan juga dibina oleh persiapan. Apabila kita berdoa minta kesihatan, usaha dan persediaan kita juga selaras ke arah itu, maka keyakinan diri kita akan meningkat. Ya, doa yang digandingkan dengan usaha akan meningkatkan lagi tahap harapan dan harapan yang tinggi itulah yang akan membuahkan keyakinan.
ii) Jangan Berdoa Sesuatu yang Membawa Permusuhan dan Dosa
Doa yang buruk hakikatnya bukan doa. Doa yang berpaksikan permusuhan tidak akan dimakbulkan Allah. Oleh sebab itu berhati-hatilah agar tidak berdoa dengan hati yang kotor. Jangan kita ajukan kepada Allah sesuatu yang berbentuk dosa dan kefasiqan. Doa hanyalah untuk yang baik-baik dan dengan tujuan yang baik-baik pula.
Begitu juga berdoa untuk menang dalam pertaruhan (judi), berjaya dalam pertandingan yang dalamnya ada perbuatan mendedahkan aurat dan pergaulan bebas, kaya dengan perniagaan yang berunsur riba, berkuasa melalui kaedah yang kotor dan fitnah serta lain-lain bentuk kemungkaran yang seumpamanya adalah dilarang dan tidak akan dikabulkan. Kita juga tidak dibolehkan mendoakan sesuatu yang boleh memutuskan ikatan silaturahim sesama Islam.
iii) Jangan Berdoa Tanpa Bertahmid dan Berselawat
Ulama ada menjelaskan bahawa sesuatu doa itu tidak akan dikabulkan tanpa bertahmid (memuji) kepada Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kedua-dua faktor ini sangat penting untuk melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Tanpa rasa syukur, sukar doa kita itu didengari dan seterusnya diperkenankan oleh Allah s.w.t.
Bayangkan jika seseorang meminta tambahan atas nikmat yang sedia ada, dia mestilah menunjukkan rasa berterima kasih atas nikmat yang telah diberikan itu terlebih dahulu. Rasa syukur itulah yang akan menggamit turunnya nikmat yang baru. Firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur nescaya kami akan tambahkan nikmat-nikmat Kami. Dan sebaliknya jika kamu kufur, azab Allah amat pedih.” (Surah Ibrahim 14: 7)
Dengan bertahmid, kita menyatakan syukur kepada Allah. Dengan berselawat kita mengucapkan terima kasih kepada insan yang paling banyak berjasa kepada kita yakni Nabi Muhammad s.a.w. Hanya setelah bersyukur, Allah yang bersifat al-Wahhab (Maha Pemberi) akan menambahkan lagi nikmat-nikmat-Nya. Benarlah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, tidak akan bersyukur dengan yang banyak.”
Itulah tiga sebab mengapa doa terhijab. Dalam konteks yang sama, apa yang dinyatakan oleh Ibrahim bin Adham (seorang ahli tasawuf) tentang punca-punca doa terhijab sangat perlu dijadikan renungan. Namun, walau apapun keadaan kita, sama ada dalam keadaan taat atau derhaka, dalam keadaan senang ataupun susah, doa mesti terus dipanjatkan. Makbul atau tidak itu soal kedua. Yang paling utama adalah jangan sekali-kali berputus asa untuk terus berdoa kepada Allah s.w.t.
Dan jangan sekali lupa, apa yang telah Allah berikan kepada kita sebenarnya lebih banyak daripada apa yang sedang kita minta (doa).


BESARNYA makna DOA YANG KITA LUPAKAN - semasa duduk antara dua sujud

Dalam tidak sedar.

Setiap hari kita memohon didalam solat kita..tetapi sayangnya, kita hanya memohon tanpa memahami.. sekadar tersebut dibibir, tetapi tidak tersentuh dari hati kita selama ini..
 

Marilah kita mula menghayati ketika kita duduk di antara dua sujud semasa solat..

Dengan rendah hati nyatakanlah permohonan ampun kepada Allah 

Rabbighfirli (Tuhanku, ampuni aku)


Diamlah sejenak,

buka dada dan diri kita untuk menerima ampunan dari Allah seperti membuka diri ketika merasakan hembusan angin sepoi-sepoi atau menerima curahan air hujan ketika kita masih kecil

Tetaplah membuka diri kita untuk menerima ampunan Allah

Ulangi permintaan itu beberapa kali hingga kita merasakan ketenangan Kemudian sampaikanlah permintaan kedua,

Warhamni (sayangi aku)


Diam dan tundukkanlah diri kita untuk menerima kasih-sayang Allah yang tak terhitung besarnya

Bukalah dada kita seluas-luasnya agar semakin banyak kasih-sayang Allah yang kita terima

Ulanglah beberapa kali hingga kita merasa cukup Berturut-turut sampaikanlah permintaan2 berikut dengan cara sebagaimana tersebut di atas, satu persatu..

Wajburnii (tutuplah aib-aibku)

Warfa'nii (angkatlah darjatku)

Warzuqnii (berilah aku rezeki)

Wahdinii (berilah aku petunjuk)

Wa'Aafinii (sihatkan aku)

Wa'fuannii (maafkan aku)


Setelah selsai, diamlah sejenaklalu sampaikan rasa syukur kita

Betapa besarnya nilai sebuah doa ini..sebuah doa yang kita hanya lewatkan begitu sahaja..

Dalam tidak kita sedar selama ini kita seperti sedang berpura-pura memohon sesuatu

tetapi hati antara tidak dan mahu pantaslah Allah perlakukan kita begitu. 

Orang Cemerlang.

Orang cemerlang sentiasa mencari ‘emas’ dalam diri. Tuhan mencipta manusia dengan sempurna, tetapi kebanyakan orang tidak sedar akan kehebatan dirinya. Dengan mengenal diri secara mendalam, kita dapat menerobos sempadan diri. Berikut ialah tips yang telah dipetik dari Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah.
Tatacara makan dan minum
  • Sebelum tidur, maafkan semua orang tak kira siapa ~ insyaAllah, Allah lipat gandakan rezeki.
  • Sebelum tidur, berdoa, bergantung kepada apa yang kita hendak ~ sepanjang tidur, otak akan berlegar pada kehendak kita itu dan insyaAllah, kita akan ada tenaga dan ada semangat ke arah kehendak itu diesok harinya.
  • Makan buah sebelum sarapan, makan tengahari dan makan malam ~ ikut sunnah dan dapat pahala. Jika dirujuk kepada pakar pemakanan, jumlah vitamin yang diperolehi dari buah-buahan yang dimakan selepas waktu makan menghampiri 0%.
  • Jangan minum air semasa sedang makan. Minum air selepas 15-30 minit selesai makan. Untuk minum, bagi teguk yg pertama, biarkan air dalam mulut selama lebih kurang 10 saat, baru telan. Bagi teguk kedua dan seterusnya boleh diminum terus. Air liur ada enzyme yang boleh membunuh kuman dalam pankreas, perut dan seterusnya. Ini akan dibawa oleh air tegukan pertama tadi.
  • Seelok-eloknya makan malam sebelum maghrib ~ ikut sunnah, Rasullullah makan sebelum maghrib kecuali bulan Ramadhan sahaja iaitu masa maghrib. Bagi mereka yang sedang belajar atau kanak-kanak, otak akan berfungsi cemerlang menyerap ilmu kira-kira 2 jam selepas makan. Oleh itu jika makan pukul 8:30pm, dalam pukul 10:30pm baru mula belajar dan biasanya hanya boleh bertahan hingga jam 12 tengah malam saja. Jadi, tak banyak yang boleh dipelajari berbanding kalau makan pukul 6:30pm. Bangsa Cina biasa makan waktu ini. Malah kita tak tidur dalam kekenyangan di mana boleh menghindar dari membuat sembahyang malam.
Tatacara di bilik air
  • Selepas buang air kecil, berdehem 3x (teran sikit) ~ boleh mengelakkan daripada mendapat batu karang.
  • Semasa buang air besar, mengiring sedikit ke kiri ~ ikut sunnah sebab bila mengiring ke kiri, perut akan tekan bladder dan senang buang air besar
Tatacara didik anak
  • Antara tips untuk dapat anak bijak atau genius, ajar anak atau bayi tidur mengiring ke kanan ~ sebab jantung yang terletak sebelah kiri akan lebih “lapang” dan “lega” dan mudah berdegup, yakni perjalanan darah sempurna dan otak anak akan berkembang pesat
    Bagi anak-anak yang dah azalinya active atau hyper-active, kurangkan atau jangan pakaikan baju warna orange ~ sebab warna ini boleh merangsang secara aktifnya tindak tanduk anak, dia akan lebih nakal, sentiasa bersemangat waja dan exuberant.
Tatacara didik diri sendiri
  • Amalkan apa-apa yang baik dan juga amalan-amalan baru selama 21+ hari berturut-turut ~ Rasullullah (saw) bersabda, sesuatu amalan yg diamalkan sekitar 21-30 hari terus menerus, akan menjadi tabiat. Kalau tak, ilmu itu akan mati.
  • Buang segala rasa hasad dengki, dendam dan lain-lain yang negatif ~ emosi-emosi ini akan membenarkan otak mengeluarkan adrenaline, cortisone dan toxine secara berlebihan. Ini boleh membawa kepada beberapa penyakit seperti cepat letih, wajah cepat nampak tua, selalu sakit perut dan sebagainya.
Norhaslinda Ahmad - norhaslindaahmad@yahoo.com

16 Kategori Manusia Yang Tidak Dapat Menatap Wajah Allah

Posted by Lobai Kampung at Monday, December 14, 2009 .

Salah satu nikmat yang paling besar yang dikecapi oleh penduduk syurga ialah mereka dapat melihat dan menatap wajah Allah Azza Wajalla. Allah berfirman dalam Surah al Qiamah ayat 22-25


وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَةٌ

وَوُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ بَاسِرَةٌ تَظُنُّ أَن يُفْعَلَ بِهَا فَاقِرَةٌ
Pada hari akhirat kelak, muka (orang-orang yang beriman kelihatan) berseri-seri; justeru mereka dapat menatap wajah Tuhannya. Sebaliknya muka (orang-orng kafir) serba muram dan pucat hodoh justeru mereka yakin akan menghadapi seksaan yang berat dan dahsyat.

Namun bagi orang yang bernasib malang mereka tidak akan dapat masuk syurga dan menatap wajah Allah . Golongan yang tidak akan dapat menatap wajah Allah yang mulia ialah :

1. Orang yang menjual janji setianya dengan Allah dengan harga yang tidak seberapa daripada habuan duniawi yang fana ini.(Orang bersumpah palsu) Allah berfirman :


إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَناً قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ)--- آل عمران : 77

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya

2. Pemerintah yang menjauhkan diri dari suka duka rakyat, tidak peduli kepada penderitaan mereka dan tidak kesihan terhadap kemiskinan dan keperitan hidup yang dihadapi oleh mereka.

عن أبي مريم الأزدي رضي الله عنه قال:قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (من ولي من أمور المسلمين شيئاً ،فاحتجب دون خلّتهم ،وحاجتهم ،وفقرهم، وفاقتهم، احتجب الله عنه يوم القيامة، دون خلّته ، وحاجته ، وفاقته، وفقره )

Abu Mariam al Azadi R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda :

“ Siapa yang memikul apa-apa jawatan atau tugas menguruskan orag Islam namun dia gagal memenuhi tanggongjawab dan dia mengelak daripada menyelesaikan keperluan mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaan umat Islam nescaya Allah akan mengelak (menjauhkan diri) daripadanya pada hari kiamat kelak daripada menyelesaikan keperluannya yang mendesak, kepentingan, kemiskinan dan kepapaannya pada hari tersebut.”

Hadith Sahih riwayat Abu Daud dan dianggap berstatus sahih oleh al Albani.

3. Orang Tua yang Berzina


عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال ( ( ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولا ينظر إليهم ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم: شيخ زانٍ ، وملك كذّاب ، وعائل مستكبر ) أخرجه مسلم

Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda:

“Tiga orang yang Allah enggan bercakap-cakap dengan mereka pada hari kiamat kelak. Allah tidak sudi memandang muka mereka, Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) . Untuk mereka disiapkan seksa yang sangat pedih. (Mereka ialah ): Orang tua yang berzina, pemerintah yang suka berdusta dan fakir miskin yang takabbur.”

Hadith ditakhrijkan oleh Muslim.

4. Pemerintah Atau Kerajaan Yang Suka Berbohong (Dusta)

5. Orang miskin yang takabbur

6. Orang yang tak sudi menolong walau dengan mengajukan seteguk air.

في حديث ابي هريرة (……. ورجل منع فضل ماء ، فيقول الله : اليوم أمنعك فضلي ، كما منعت فضل مالم تعمل يداك

Dalam Hadith riwayat Abu Hurairah ada disebutkan prasa berikut: .. orang yang enggan memberi lebihan air minum (yang dia miliki kepada orang yang keputusan air minum). Sehingga Allah bersabda : Pada hari ini Aku akan menghalangmu daripada mendapat lebihan kurniaKu, persis sepertimana kamu menghalang orang lain daripada mendapat kurniaan yang bukan tangan kamu yang menciptanya.

7. Pembai’ah dan pengundi pemimpin kerana kebendaan

وعن أبي هريرة - رضي الله تعالى عنه - قال: قال رسول الله -صلى الله عليه وسلم-: ( ‏ ثلاثة لا يكلمهم الله يوم القيامة، ولا ينظر إليهم، ولا يزكيهم، ولهم عذاب أليم: رجل على ‏ ‏فضل ‏ ‏ماء ‏ ‏بالفلاة، ‏ ‏يمنعه من ‏ ‏ابن السبيل، ‏‏ ورجل بايع رجلا بسلعة بعد العصر، فحلف له بالله لأخذها بكذا وكذا فصدقه، وهو على غير ذلك، ورجل بايع إماما لا يبايعه إلا للدنيا، فإن أعطاه منها وفى، وإن لم يعطه منها لم يف ) متفق عليه.

Dalam hadith riwayat Abu Hurairah bahawa Rasulullah pernah bersabda

”Tiga orang Allah tidak akan bercakap cakap dengannya pada hari kiamat kelak. Malah Allah tidak akan menoleh (memandang) kepadanya, Allah tidak akan menyucikan dirinya (daripada dosa) . Sebaliknya disediakan untuknya seksa yang sangat pedih. Pertama; orang yang mempunyai bekalan air yang banyak di suatu kawasan lapang atau sahara tapi ia enggan untuk memberi minum ”Ibnu al Sabil” para musafir (yang kehabisan bekalan minuman ). Kedua; orang yang menawar untuk membeli barangan selepas asar dengan bersumpah atas nama Allah; bahawa dia akan membeli atau mengambil barang itu dengan harga tertentu.Janjinya itu dipercayai benar oleh penjual. Pada hal dia sebenarnya langsung tidak berniat untuk membelinya . Ketiga; orang membai’ah pemimpin (mengundi dan memilih atau melantik pemimpin) semata-mata kerana perhitungan keduniaan (kebendaan). Kalau orang yang dipilihnya itu memberikan janji habuannya maka barulah dia akan menunaikan kewajibannya. Kalau tidak ia akan bersikap enggan (atau ingkar).” (Hadith Muttafaqun ’alaihi)

8. Penderhaka Ibu Bapa

Rasulullah bersabda:

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لاينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة :العاق لوالديه ، والمرأة المترجلة المتشبهة بالرجال والديوث) صحيح أخرجه أحمد والنسائي

Abdullah Bin Omar R.A. meriawayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda:

“Tiga orang Allah tidak akan sudi memandang wajah mereka pada hari kiamat kelak: Penderhaka kepada dua ibu bapanya, wanita yang berlagak lelaki yang meniru kaum jantan dan golongan orang Daiyuth. Hadith sahih ditakhrijkan oleh Ahmad dan Nasaii

9. Wanita yang berlagak seperti lelaki (Tomboy)

عن عبدالله بن عمر رضي الله عنه قال :قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لاينظر الله عز وجل إليهم يوم القيامة :العاق لوالديه ، والمرأة المترجلة المتشبهة بالرجال والديوث ) صحيح أخرجه أحمد والنسائي

10. Orang Lelaki yang Dayyuth

Suami atau bapa yang tidak lagi mempunyai rasa cemburu dan maruah diri sehingga membiarkan isteri berjahat dengan orang lain tanpa rasa cemburu dan marah

Apabila perasaan cemburu yang positif ini sudah tidak ada lagi dalam diri seseorang ; maka tidak ada usaha untuk menentang kemungkaran terhadap maruah keluarga atau diri sendiri. Dengan itu kejahatan akan bermerajalela.

11.Pengamal Budaya Kaum Luth


عن ابن عباس رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (لاينظر الله - تعالى- إلى رجل أتى رجلاً ، أو امرأة في الدّبر ) صحيح اخرجه الترمذي

Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : Allah tidak akan sudi memandang wajah orang yang menyetubuhi lelaki atau mendatangi isterinya di duburnya. Hadith sahih ditakhrijkan oleh al Turmuzi

12. Pengamal Seks Abnormal

Golongan ini termasuk kalangan yang bernafsu terhadap binatang dan tergamak melakukan hubungan jenis dengan binatang .

13.. ”Al-Mannan” atau pemberi yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya; baik lelaki mahupun perempuan.

عن ابي ذر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاثة : ( لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولايزكيهم ، ولهم عذاب أليم ) فقالها رسول الله صلى الله عليه وسلم ثلاث مرار ، فقلت : خابوا وخسروا من هم يارسول الله قال: المنان والمنفق سلعته بالحلف والمسبل ازاره ) اخرجه مسلم

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “ Tiga orang Allah tidak akan bercakap-cakap dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka daripada dosa (dan noda) malah disiapkan untuk mereka seksa yang sangat pedih. Baginda mengulang prasa itu tiga kali. Lalu (kata Abu Zar) aku pun menambah, malang , kecewa dan rugilah mereka ; siapakah mereka itu wahai Rasulullah?. Beginda menjawab al Mannan atau orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang melariskan barang jualannya dengan sumpah (palsu) dan orang suka melabuhkan pakaiannya ( kerana-menunjuk- nunjukan kekayaan ).

Hadith di takhrijkan oleh Muslim


14. Orang suka menunjuk-nunjuk kekayaan dengan pakaian labuh menyapu tanah dan berjalan di muka bumi dengan angkuh atau

المسبل إزاره المختال في مشيته

“Orang melabuh-labuhkan pakaian (menunjuk-nunjuk kekayaan dengan sikap boros) yang berjalan dengan cara bermegah-megah dengan diri sendiri.”

15. Penjual yang melariskan barang jualannya dengan cara berdusta dan membohong


عن ابي ذر رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( ثلاثة لايكلمهم الله يوم القيامة ، ولا يزكيهم ، ولهم عذاب أليم : المسبل إزاره ، والمنان ، والمنفق سلعته بالحلف الكاذب ) أخرجه مسلم في كتاب الإيمان

Abu Zar meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda :

Tiga orang Allah tidak akan bertutur kata dengan mereka. Allah tidak akan membersihkan mereka dan untuk mereka disediakan azab yang sangat dahsyat… penjual yang melariskan barang jualannya dengan sumpah palsu.

16.Isteri yang tidak berterima kasih terhadap suami

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ( لاينظر الله إلى امرأة لاتشكر لزوجها وهي لاتستغني عنه ) صحيح أخرجه النسائي وصححه الالباني

Abdullah Bin Omar R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah bersabda: “Bahwa Allah tidak akan memandang muka isteri yang tidak berterima kasih (kufur nikmat) kepada suaminya. Pada hal dia sendiri tidak boleh tidak memerlukan kepada suaminya itu.”

Jangan engkau kahwini wanita yang enam

 Pesanan Rasulullah SAW Lelaki :
"Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang ananah, yang mananah, dan yang hananah dan jangan engkau kahwini yang hadaqah, yang basaqah dan yang syadaqah".


1.Wanita Ananah : 
wanita yang banyak mengomen itu dan ini. Apa yang diberi atau dilakukan suami untuk rumahnya tangga semua tidak kena dan tidak berpuas hati.

2.Wanita Mananah : 
wanita sebegini yang menidakkan usaha dan jasa suami sebaliknya mendabik dada dialah yang banyak berkorban untuk membangun rumah tangga. Dia suka mengungkit-ungkit apa yang dilakukan untuk kebaikan rumah tangga. Biasanya wanita ini bekerja berkedudukan tinggi dan bergaji besar.

3.Wanita Hananah :
 Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain dan wanita ini berangan-angan mendapatkan suami yang lebih baik dari suami yang sedia ada. Dalam kata lain wanita sebegini tidak bersyukur dengan jodohnya itu. Wanita sebegini yang mengkufuri nikmat perkahwinan. Dia juga merendahkan kebolehan dan kemampuan suaminya.

4.Wanita Hadaqah : 
melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya utk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya selain itu wanita ini suka ikut nafsunya. Wanita sebigini memeningkan kepala lelaki. Dia tenguk apa saja dia mahu. Dia suka membandingkan dirinya dengan diri orang lain. Suka menunjuk-nujuk. Wanita inilah yang menjadikan suami dulu handsome sekarang suah botak.


5. Wanita Basaqah : 
ada 2 makna, pertama wanita sebegini yang suka bersolek dan menghiaskan diri. Dia menghias diri bukan untuk sumainya tetapi untuk ditunjuk-tujukkan kepada dunia. Suka melawa. Wangnya dihabiskan untuk membeli make-up, kasut dan barang kemas. Wanita begini juga suka dipuji-puji. Kalau dia kebetulan menjadi isteri orang ternama dan menjadi pula ketua dalam kumpulan itu, orang lain tidak boleh mengatasi dirinya.
kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagiannya.

6.Wanita Syadaqah : 
banyak cakap, tidak menentu lagi bising, Kebecohan itu juga menyebabkan segala kerja yang dibuatnya tidak menjadi, hanya tukang sibuk dan komen saja.

---Dicatat oleh Imam Al-Ghazalli...Wallahu'alam. 



mrchip_senior - mrchip_senior@yahoo.com

Tentang Selawat

Acap kali.. sering.. selalu, malah macamnya jatuh wajib bilamana di kaca TV selepas subuh, di radio – mengingatkan kita tentang betapa pentingnya selawat. Penceramah sendiri pun selalu berselawat ketika hendak memulakan dan mengakhiri ceramahnya. Begitu juga dengan guru agama – berselawat di permulaan dan penghujung sesi pengajarannya. Apakah pentingnya selawat? Kenapa semua orang berselawat? Besar sangatkah selawat itu? Mari kita sama-sama selidik kebesaran selawat ini. Tak seronoklah berselawat bila kita tak tahu kelebihan-kelebihan selawat. Oleh itu, pagi ini kita akan membincangkan tentang keajaiban selawat. 
1. Sabda Rasullah saw: Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat keatasnya 10 kali ganda – (Hadis Riwayat Muslim.)

2. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.

3. Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insyaAllah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.

4. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. Insya Allah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.

5. Sesiapa yang amal membaca selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.

6. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insya Allah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

7. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.

8. Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.

9. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, Insya Allah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki dan sebagainya dalam dirinya.

10. Sesiapa yang amalkan berselawat 1000 kali pada malam Jumaat, insya-Allah akan beroleh kebahagiaan sama ada di dunia mahu pun di akhirat.

11. Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.

12. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

13. Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaan-Nya.

14. Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadapi kesukaran hidup.

15. Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.

16. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.

17. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.

18. Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.

19. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.

20. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.

21. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.

22. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, insya-Allah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.

23. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya.

24. Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmat-Nya.

25. Ulamak berpendapat, sesiapa yang mengamalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, insya-Allah dihindarkan daripada taun dan wabak penyakit berbahaya yang lain.

26. Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.

27. Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.

28. Para Ulamak berpendapat, Allah akan sempurnakan hajat yang baik dengan sentiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, diikuti dengan usaha yang berterusan.

29. Sabda Nabi saw: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari Jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya – Hadis Riwayat Abu Naim.

30. Sabda Nabi saw: Barangsiapa berselawat kepadaku 10 kali pada waktu pagi dan 10 kali pada waktu petang tiap hari, ia akan beroleh syaafaatku pada hari kiamat – Hadis Riwayat Thabrani

Demikianlah betapa banyaknya ganjaran bagi orang-orang yang berselawat. Oleh itu, marilah kita perbanyakkan selawat dan salam ke atas baginda Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan kita tergolong dalam orang-orang yang beruntung di dunia dan di akhirat, insya-Allah.

Wallahu a’lam


sara sara sheqien17@yahoo.com.my

01 October 2010

Rahsia Wudhu'



Syarat mendirikan solat ialah mengambil wudhuk .Tentu tidak sah jika kita mengerjakan solat lima waktu tetapi meninggalkan wudhu’. Pernahkah kita terfikir dengan perintah Allah SWT dengan perbuatan yang nampak remeh ini. Kenapa tidak?? Kenapa tangan bersama dengan air menyentuh anggota-anggota tubuh. Kenapa wajah yang dibasuh? Kenapa mesti telinga?

Banyak rahsia dalam kandungan wudhu’ yang hanya Allah Maha Mengetahui namun antara rahsia wudhu’ yang dapat diungkapkan ialah:

Setiap perintah Allah SWT tentu memiliki hikmah kebaikan disebaliknya. Lima pancaindera kenapa semua tanpa terkecuali disapu oleh air wudhu’. Mata, hidung, telinga & seluruh kulit tubuh. Ini betul-betul luar biasa.

Ahli syaraf/ neurologist pun telah membuktikan dengan air wudhu’ yang menyejukkan hujung-hujung urat syaraf jari-jari tangan dan jari-jari kaki berguna untuk menenangkan fikiran.

Anda tentu pernah mendengar akupunktur kan ? Cuba cari tahu dimana saja letak titik-titik sensitif yang sering digunakan dalam ilmu akupunktur? Lalu kemudian amati rukun wudhu’. InsyaAllah kita akan menemui persamaan antara keduanya.

Pada anggota badan yang terkena semasa berwudhu’ terdapat ratusan titik akupunktur yang merupakan titik penerima ransangan terhadap sentuhan berupa basuhan, gosokan, usapan, dan tekanan/urutan ketika melakukan wudhu’. Sentuhan tersebut akan dihantarkan ibarat signal ke sel, jaringan, organ dan sistem organ yang bersifat terapi. Ini terjadi kerana adanya sistem komunikasi iaitu sistem syaraf dan hormon bekerja untuk mengadakan homeostasis (keseimbangan). Titik-titik akupunktur, suatu fenomena yang menarik bila dibandingkan dengan syariat wudhu yang disyari’atkan 15 abad yang lalu.

Jumlah Titik Akupunktur Pada Anggota Wudhu’(rukun dan sunat)
Muka 84
Tangan 95
Kepala 64
Telinga 125
Kaki 125
Jumlah keseluruhan = 493!

Ternyata terdapat 493 titik penerima ransangan pada anggota wudhu’!!

Subhanallah!! Bayangkan jika kita melakukan itu setiap hari paling sedikit 5 kali sehari…

Kita tidak harus memandang ringan semasa menjalani wudhu. Mengapa? Cuba ingat semasa kita membasuh tapak kaki & tangan…apakah celah-celah jari sering kita abaikan? Ternyata ada fakta menarik yang ingin saya kongsikan:

Dari ilmu ahli akupuntur, di celah-celah jari terdapat 16 titik akupunktur yang mana titik-titik tersebut apabila dirangsang yang istmewa yang dapat mengubati migrain, sakit gigi, tangan-lengan merah, bengkak, dan jari kaku.
Berkenaan telinga pula, walau pun ia adalah amalan sunat, ia mengandungi 30 titik ransangan! Maka, semasa menyapu telinga itu jangan cuma membasuh saja, tapi harus dengan urutan lembut juga. Selepas ini sebaiknya kita tidak meninggalkan amalan sunat semasa berwuduhu’ kerana setiapnya mempunyai titik penerima ransangan.


Titik akupuntur di telinga. 125 disentuh semasa mengambil wudhu’.


Subhanallah…sungguh luar biasa rahsia wudhu’


Semoga rahsia Wudhu’ ini memberi manfaat kepada anda. Wallahualam

AmatAlwi Elias - AmatAlwi.Elias@wdc.com