Pages

Showing posts with label kesusahan hidup. Show all posts
Showing posts with label kesusahan hidup. Show all posts

25 November 2010

Walau Ditawar Harta & Diancam Bakaran

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
  

Membaca kisah athar seorang sahabat Nabi sallahu ‘alayhi wassalam, walau nama ini kurang dikenali ini, namun kisah ketabahannya mampu mengalirkan air mata. Beliau adalah Abdullah bin Huzafah Al-Sahmi, direkodkan oleh Imam Az-Zahabi di dalam kitabnya Siyar Al-a'lam Al-Nubala, beliau bersama tentera Islam yang lain ditawan oleh pemerintah Roman. Islam di waktu itu di bawah pemerintahan khalifah Umar al-Khattab r.a.

Kisahnya juga dicatat di dalam sumber-sumber sejarah Islam yang lain seperti Al-Isabah oleh Ibn Hajar, Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimash, Ibn ‘Athir dalam Asad Al-Ghabah dan lain-lain.[1]
AURA SAHABAT RASULULLAH
Disebabkan imej Islam yang dibina oleh Rasulullah dan khalifah sebelumnya, terkenal di kalangan musuh-musuh Islam akan kehebatan dan keunikan generasi Islam di zaman itu khususnya para sahabat baginda Nabi s.a.w.

Apabila dimaklumkan kepda raja Roman, bahawa salah seorang dari tentera Islam yang berjaya ditawan adalah dari kalangan sahabat Rasulullah. Raja Roman kegembiraan. Dia gembira kerana berpeluang untuk melihat sendiri susuk tubuh salah seorang dari sahabat nabi yang sering tersebar akan kehebatan dan keluarbiasaan mereka di waktu itu. 

Raja roman dicatatkan mengarahkan sahabat tersebut dibawa ke hadapannya. 

Raja meminta : "Adakah engkau sudi untuk keluar dari Islam (menjadi Nasrani)? Jika engkau lakukan itu, aku akan menganugerahkanmu sebahagian dari pemilikan harta yang dimiliku" 

Abdullah menjawab :
لو أعطيتني جميع ما تملك وجميع ما تملك وجميع ملك العرب ما رجعت عن دين محمد طرفة عين
Ertinya : "Sekiranya engkau memberiku seluruh yang kamu miliki, bahkan jika seluruh yang dimiliki pemimpin arab, TIADALAH akan aku keluar dari agama yang dibawa Nabi Muhammad ini walau untuk jangka waktu sekelip mata"

Akibat dari penolakan itu, Raja Roman telah mengarahkan agar dibawa sebuah tempat azab yang dipenuhi minyak panas mendidih lalu dicampakkan seorang tawanan Muslim ke dalam, hingga kecut, terkeluar tulangnya dan masak dagingnya.

MENANGIS
Kemudian, diarahkan agar Abdullah pula dicampakkan ke dalamnya. Tatkala itu, pegawai raja  melihat Abdullah menangis, lalu mereka dengan segera memaklumkan kepada raja akan hal tersebut.

Raja dan Roman dan pegawai mereka gembira kerana menjangka taktik mereka berjaya untuk mengoncang iman dan pendirian Abdullah yang sebelum ini menolak permintaan Raja.

Namun apabila ditanya semula permintaan yang sama (untuk murtad), jawapan yang sama tetap diberikan oleh Abdullah. Raja Rom merasa pelik dan bertanya sebab tangisannya.

Abdullah menjawab  :
Ertinya : "Ia kerana jiwa ( nyawaku) yang hanya satu ini, sebentar lagi ia akan pergi maka aku menangis kerana mengenangkan betapa aku menginginkan sekiranya aku punyai banyak nyawa sebanyak rambutku ini maka bolehlah engkau lemparkan aku berkali-kali ke dalam api itu, aku ingin gunakan semuanya pada jalan Allah." 

Bermakna, Abdullah sebenarnnya menangis bukan kerana takut, tetapi merasa terkilan hanya mempunyai satu nyawa di ketika itu, padahal dia sangat ingin untuk mempunyai lebih banyak nyawa dan tidak bimbang sama sekali mengharungi kematian asalkan ianya untuk Islam, biarpun kematian itu berkali-kali. Yang penting semua kematiannya syahid dan demi memperjuangkan Islam. MashaAllah.!

TERSENTAK
Apabila raja Rom mendengar jawapan Abdullah, dia menjadi amat kagum. Terfikir jika sebelum ini dia hanya mendengar kisah-kisah keajaiban para Sahabat Rasulullah, tetapi kali ini beliau menyaksikannya sendiri di hadapan matanya. Keadaan tersebut menjadikannya merubah pemikiran secara drastik lalu menawarkan Abdullah untuk dibebaskan dengan satu syarat.

Raja Rom mensyaratkan agar Abdullah Huzafah untuk mencium dahinya. 

Abdullah bersetuju dengan syarat, semua tawanan Islam yang dianggarkan berjumlah sekitar 80 orang turut dibebaskan bersamanya.

Raja Rom bersetuju.

Apabila pulang ke Madinah, kisah pembebasan tersebut tersebar dan dimaklumkan kepada Umar Al-Khattab selaku khalifah ketika itu. Lalu Umar dengan gembira sambil berkata:
حق على كل مسلم أن يقبل رأس ابن حذافة وأنا أبدأ
Ertinya : Menjadi hak dan tanggungjawab setiap Muslim untuk mencium dahi (kepala) Ibn Huzafah, dan aku akan memulakannya.

Demikian sebuah kisah dari athar sahabat nabi, nilai kualiti iman yang amat mengkagumkan, walau ditawar dengan separuh harta Raja Rom, diugut dengan lontaran ke dalam api dan minyak mendidih, imannya tetap kental, teguh dan maha yakin dengan segala jenis pembalasan kebaikan akhirat. MashaAllah, betapa kerdilnya kita ini berbanding insan-insan didikan baginda nabi. 

Lihat sahaja umat Islam di zaman ini, hanya dengan sogokan nilai matawang beberapa ratus, ribu pun  atau kain, beras beberapa kilo sahaja pun telah mampu melayang ketabahan iman seseorang. Apakah sebabnya terlalu jauh kita berbanindg sahabat dan tabi'en? Moga kita dijauhkan dari situasi begitu dan diberi kekuatan untuk membina kekuatan dalaman jika terpaksa menghadapinya di masa hadapan.

KEMATIAN SYAHID SAMBIL MENGISLAMKAN MUSUH
Bayangkan, seorang sahabat bernama Huram bin Mulhan, merupakan pembaca & salah serorang dari kalangan penghafaz Al-Quran yang utama, ketika dia berjuang, ditikam dari belakang oleh musuh. Tatkala melihat tombak yang menembusi dirinya, dia menjerit sambil berkata "aku berjaya, Demi tuhan Ka'bah!"

Dia mati syahid, meninggalkan pembunuhnya iaitu Jabbar Bin Salmi, terpinga-pinga dengan kalimah yang didengari. Puas mencari, jawapan akhirnya ditemui, kesannya musuh tersebut akhirnya memeluk Islam beberapa ketika selepas itu. Hal ini diakui sendiri oleh Jabbar selepas keislamannya.

Itulah sahabat didikan Rasulullah, ambang kematian mereka juga menjadi sebuah dakwah kepada pihak musuh.  Kita sudah hampir dengan Ramadhan, berdoalah kita agar diberikan rezeki untuk meraih segala kebaikan darinya dan mampu mencontohi iman para sahabat ridwanullah alayhim.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
16 Julai 2010


[1] Namun kisah ini tetap mendapat pelbagai kritikan oleh para ulama hadith, kesimpulannya, mereka menganggapnya sebagai lemah dari sudut sanadnya. Pun begitu, kisahnya amat baik untuk dijadikan pedoman dan tauladan.


03 November 2010

Universiti Kehidupan 171 – “Akhlak.. Manakah Asasnya…?”

MONDAY, OCTOBER 25, 2010


“Kalaulah program “Bersamamu TV3” dibuat di sini” bisik hati saya ketika menziarahi rumah orang susah di sini. Takrifan orang susah di sini ialah orang yang betul-betul faqir kerana rata-rata orang sini susah.
Inilah keadaan di Cambodia ini.

Saya melangkah masuk rumah Mustafa, orang yang mempunyi enam anak. Barangkali rumahnya sebesar bilik anak-anak kita di Malaysia, atau besar sedikit dari  enam biji kereta disusun rapat.

Rumah kecilnya ini mempunyai satu bilik. Tinggal di dalam rumah ini 9 orang, Mustafa bersama isterinya, ibu Mustafa dan 6 orang anaknya.

Anak perempuan yang paling besar berumur 15 tahun, anak perempuan keduanya 12 tahun dan yang paling kecil 2 tahun.

Anak-anak dara yang sedang membesar juga tidur di satu ruang. Kalau di sesetengah tempat di Malaysia, rumah begini sudah tidak ada lagi dan bagi rumah flat sudah tidak diluluskan plan satu bilik kerana mungkin dan terjadi sumbang mahram.

Tetapi kejadian itu tidak berlaku di sini, kenapa?

Mustafa merupakan seorang yang buta mata sebelah kerana terkena serpihan kayu yang masuk ke dalam matanya ketika beliau bekerja menebang pokok. Sampai di hospital, doktor yang mengeluarkan serpihan itu mengeluarkan serpihan ini hingga luka matanya.Menurut Mustafa, setelah matanya dijahit, ia tidak lagi dapat melihat.

Saya memandang ke dinding rumah Mustafa, dindingnya dari buluh yang sudah terkopak sana dan sini, tetapi di dinding ini, tertampal kemas jadual waktu solat.

Terbisik di hati saya…

“Beginilah, sesusah mana pun, solat tetap dijaga, bagi anak-anaknya, solat tetapi dititik beratkan”

Ya.. itulah rahsianya, tidak pernah terjadi perkara buruk sekalipun duduk di rumah yang sempit. Pegangan kepada agama yang kuat.

Mustafa bekerja sebagai pengangkut barang dari pasar menggunakan kereta kuda uzurnya. Seluarnya sangat lusuh dengan jahitan seribu benang-benang yang lain warna dengan warna seluarnya.Tetapi ketika menghadiri solat di masjid, Mustafa akan memakai pakaian putih yang terbaik yang dimilikinya.
Di akan memimpin tangan anak kecilnya untuk dibawa ke masjid.

Ketika kami menziarahinya, seperti biasa, kami melihat aktiviti hariannya dan keluarganya. Dia memotong kayu untuk memasak nasi, tetapi ketika isterinya menyuapkan nasi ke mulut anaknya yang berumur dua tahun lebih, tidak ada lauk yang disertakan, hanya sesudu garam yang ditaburkan pada setiap suapan itu.

Tidak ada keluhan yang terdengar, selepas makan tetap mengucapkan kalimah pujian “Alhamdulillah”..

Sebagai seorang ibu, isterinya menjaga kebersihan anak kecilnya. Beliau melihat kuku anaknya yang panjang, diambilnya sebuah gunting, dan digunting kuku anaknya, tidak ada penyepit kuku, satu-satunya gunting yang dimilikinya menjadi alat untuk banyak perkara.

Pada waktu petang, anaknya akan bermain dengan anak-anak orang lain, bermain guli dan berkejaran, tetapi sampai waktu Maghrib, tak perlu dijerit, semuanya akan pulang ke rumah masing-masing.

Berbual dengan saudara Ali yang biasa menjadi jurukamera program “Bersamamu”..

“Beza ustaz, kadang kala saya tukang ambil gambar program “Bersamamu”, orang susah di negara kita, kadang kala mengucapkan pun tak ingat”

“Kadang kala saya yang ambil gambar ni pun, rasa macam angin juga tengok” kata saudara Ali lagi.

Kalau dah mengucapkan pun tak ingat, usah tanya soal solat. Kalau solat pun diabaikan, maka tidak pernah ada rasa untuk ingatkan Allah, dan apabila orang tidak ingatkan Allah, maka banyak perkara maksiat boleh berlaku.

Itu yang banyak berlaku. Orang susah yang tidak beriman menyumbang kepada gejala sosial. Orang susah tidak beriman paling banyak sumbang mahram, paling banyak bekerja di rumah urut, paling banyak jadi pelacur, paling banyak mencuri, paling banyak menghisap dadah.

Yang kaya tidak beriman dengan caranya di dalam jenayah kolar putih.

Tidak ada orang yang dapat menafikan bahawa agama menjaga manusia menjadi baik, tetapi biasanya agama tidak dimulakan dari awal.

Anak dah mengandung luar nikah, baru cari ustaz yang ada pondok agama, anak dah tak boleh pakai dekat sekolah kebangsaan baru nak hantar sekolah agama.

Bagus dan tak salah, tapi alangkah baiknya jika agama dimulakan sejak awal. Kan lebih bagus.
Tapi tak ramai orang yang mempunyai pemikiran demikian.

Waktu sekarang tidak seperti zaman dahulu, kalau kita nak anak kita mahir dalam bahasa Inggeris, kita boleh hantar mereka ke tuisyen yang hebat-hebat dan dalam beberapa bulan, dia pasti akan dapat bertutur dengan fasih.

Kalau nak anak kita hebat dalam apa-apa mata pelajaran, kita boleh hantar dia kepada guru-guru hebat.
Kita nak pelajaran, kita boleh dapatkan dan tak perlu risau.

Tetapi, tidakkah kita bayangkan, jika anak kita rosak akhlaknya, tidak mudah untuk dipulihkan sikap dan peranginya?

Belum tentu seorang ustaz yang hebat dapat memulihkan akhlak seseorang yang rosak akhlaknya.
Merenung wajah Mustafa memberi keinsafan. Walaupun dia miskin harta, tetapi jiwanya cukup kaya dengan iman dan anak-anaknya juga terdidik untuk memegang agama dengan baik.

Semoga kita selalu mendahulukan pendidikan agama untuk diri dan anak-anak kita, semoga Allah terus anugerahkan kita akhlak yang baik seperti mana akhlak orang-orang yang soleh terdahulu, amin…

“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”

al-faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Phnom Penh
17 Zulkaedah 1431/25 Oktober 2010 jam 11.00 malam















Rumah Mustafa yang sangat uzur.























di dalam rumah ini tinggal seramai 9 orang.























Mustafa juga menjga ibunya yang telah tua, tidak diabaikannya, berbeza dengan anak sekarang yang terlalu sibuk bekerja hingga kadang kala tidak pernah rasa bersalah meletakkan ibu di rumah orang tua.























Wajahnya tidak pernah kusut dengan masalah, tenang dan sentiasa bersemangat mencari nafkah untuk keluarganya.























Inilah rahsia paling ampuh yang telah dilupakan, menjaga waktu solat untuk memastikan diri terjaga dari kehinaan dan maksiat.























Tanggung jawab ibu yang menjaga kebersihan anaknya, dengan berlantaikan buluh yang dibelah menjadi lantai, tidak pernah lari dari rumah meninggalkan suami kesusahan.























Berlaukkan garam, tetapi tetap sentiasa bersyukur pada setiap kali habis makan.























Anak kedua Mustafa, tetapi menjaga auratnya sekalipun umurnya baru 12 tahun.


Antara aktiviti harian Mustafa.

Orang di sini susah bukan kerana malas, tetapi kerana ruang kerja tidak menjajikan pulangan yang besar.























Seribu jahitan di seluar, tetapi ketika ke masjid, dia memakai pakaian yang paling baik yang dia ada.
























Antara kerja Mustafa, menjadi penghatar barang dari pasar ke rumah-rumah