18 November 2010
Iktibar peristiwa korban
Oleh Fauzi Haron
KORBAN dari segi bahasa bermakna dekat dan dari segi istilah bermakna menjalankan sesuatu perintah agama atau taat kepada perintah Allah s.w.t. kerana ingin mendekati diri kepada Tuhan.
Ini bermakna setiap manusia Muslim dituntut supaya berkorban apa sahaja yang termampu untuk mendapat keredhaan Allah serta bagi menyatakan ketaatan kepada-Nya sama ada berbentuk fikiran, tenaga atau harta benda.
Sejarah pengorbanan manusia di atas muka bumi ini ialah kisah dua orang adik-beradik bernama Qabil dan Habil, anak kepada Nabi Adam a.s. yang mana mereka berdua pernah diuji, siapakah di antara kedua-duanya yang sudi mengorbankan hartanya bagi menyatakan ketaatan kepada Allah s.w.t.
Di dalam surah al-Maidah ayat 27 Allah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. kisah anak-anak Adam a.s yang masing-masing mempersembahkan korban bermaksud:
Dan bacalah wahai Muhammad kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan korban (kerana mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima kurban salah seorang darinya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata Qabil ``Demi sesungguhnya aku akan membunuhmu. Jawab (Habil) hanya saya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.''
Mengikut ahli tafsir, Habil adalah seorang penternak kambing telah mempersembahkan seekor kambing yang terbaik semata-mata kerana mengikut seruan Allah s.w.t. dengan ikhlas dan penuh takwa serta ingin mendekatkan diri kepada perintah Allah. Sebaliknya Qabil seorang petani telah mempersembahkan gandum yang buruk lantaran ada perasaan bakhil, dengki, malu dan terpaksa, yang mana akhirnya Allah menerima korban daripada Habil.
Qabil yang kecewa di atas pengorbanan yang ditolak oleh Allah akhirnya sanggup membunuh saudaranya sendiri iaitu Habil, semata-mata kerana dengki tidak dapat mengahwini adik perempuan kembarnya bernama Iqlima yang akan dikahwinkan dengan Habil. Inilah adalah sejarah pembunuhan pertama dalam sejarah manusia di atas muka bumi ini.
Satu lagi kisah yang kita dapat mengambil pengajaran betapa kepatuhan dan ketaatan kepada perintah Allah s.w.t. maka tiga orang hamba Allah iaitu Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Nabi Ismail yang mana mereka bertiga berkorban tenaga dan daya usaha bagi membangunkan tanah Mekah sehingga menjadi pusat pertemuan dan perpaduan umat Islam dari seluruh dunia hingga ke zaman ini.
Menurut sejarah, Nabi Ibrahim mempunyai isteri pertama (Siti Sarah) yang sudah tua dan tidak dapat melahirkan anak. Siti Sarah `menghadiahkan' Siti Hajar seorang hamba kepada suaminya Nabi Ibrahim.
Allah s.w.t. memerintahkan Nabi Ibrahim dan Siti Hajar meninggalkan Mesir dan menuju ke Mekah. Dalam perjalanan kedua-duanya menghadapi kesulitan dan kepayahan dengan meredah padang pasir. Apabila sampai di Mekah Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar keseorangan sehingga melahirkan seorang anak yang dinamakan Ismail.
Bumi Mekah yang sering kontang, tidak mempunyai air dan tidak ada tumbuh-tumbuhan menyebabkan tidak ada orang yang sanggup mendiaminya. Tetapi sejarah telah memaparkan kepada kita betapa semangat kecekalan Siti Hajar yang dapat mengatasi cabaran dan dugaan semasa melahirkan anaknya Nabi Ismail serta semasa mencari air bagi menyelamatkan dirinya serta anaknya bagi meneruskan kehidupan, adalah bukti kepatuhan dan ketaatan mereka berdua kepada perintah Allah s.w.t.
Apabila Nabi Ismail sudah mulai membesar serta dapat membantu kerja-kerja yang dilakukan oleh ayahnya Nabi Ibrahim, maka timbullah rasa kasih Nabi Ibrahim kepada anaknya itu. Perasan kasih itu timbul kerana Nabi Ibrahim pada umur yang sudah lanjut barulah memperoleh seorang anak. Maka Allah s.w.t. hendak menguji kasih sayang Nabi Ibrahim, adakah kasih kepada anaknya melebihi daripada kasihnya kepada Allah. Surah as-Saffat ayat 102-107 bermaksud:
Maka tatkala anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ``Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu: Maka fikirkanlah apa pendapatmu!'' Anaknya menjawab: ``Wahai bapaku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu: Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.''
``Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu - telah menjalankan perintah Kami). Serta kami menyerunya ``wahai Ibrahim!'' Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu!'' Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini ialah satu ujian yang nyata; dan kami telah tebuskan anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.''
Di dalam kitab tafsir menceritakan bahawa Syaitan cuba menghasut Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar, lalu dilontar dengan batu, dan inilah yang dilakukan oleh mereka yang melakukan ibadat haji di mana melontar di ketiga-tiga jamrah adalah merupakan salah satu daripada perkara wajib haji.
Sebelum Nabi Ibrahim melakukan penyembelihan ke atas anaknya kerana perintah Allah, Nabi Ismail berpesan kepada ayahnya iaitu:
- Ikatlah kedua-dua tangannya supaya ayahnya tidak terganggu.
- Mukanya ditelengkupkan ke bumi supaya ayahandanya tidak dapat melihat wajahnya yang mungkin menimbulkan perasaan kasihan kepadanya.
- Baju ayahnya diselakkan supaya tidak dilumuri oleh darah.
- Tajamkan pisaumu dan cepatlah hiris ke leher supaya mudah mati.
- Nabi Ismail menyuruh ayahnya membawa pulang bajunya untuk diberikan kepada ibunya sebagai kenangan.
- Nabi Ismail menyampaikan salam kepada ibunya dan meminta ayahnya memujuk ibunya supaya beliau bersabar di atas perintah Allah s.w.t.
- Nabi Ismail meminta supaya jangan menceritakan kepada ibunya bagaimana cara ayahnya menyembelih dan mengikat tangan.
- Jangan biarkan kanak-kanak masuk ke rumah ibu supaya tidak bertambah kesedihannya.
- Jika ayah berjumpa dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya, janganlah ayahnya memandang kepadanya supaya ayah tidak berkeluh kesah dan kesedihan.
Kisah Nabi Ibrahim yang rela mengorbankan anaknya sendiri, begitu juga isterinya Siti Hajar yang merelakan anaknya dikorbankan dan anaknya sendiri, Nabi Ismail yang sanggup dikorbankan adalah menunjukkan kepada kita betapa tingginya nilai pengorbanan mereka bertiga yang sanggup melakukan apa sahaja semata-mata kerana patuh dan taat kepada perintah Allah s.w.t.
Firman Allah surah al-Hajj ayat 37 bermaksud: Daging dan darah korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa dari kamu.
Dalam suasana Hari Raya Korban kita dituntut melakukan ibadat korban seperti sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:
Daripada Aisyah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda, tidak ada amalan anak Adam (manusia) di hari Nahar (Hari Raya Haji) yang paling disukai oleh Allah selain daripada menyembelih korban.
Ternakan yang dikorban itu akan datang kepada mereka yang melakukannya pada hari Kiamat kelak seperti keadaan asalnya, iaitu lengkap dengan tanduknya, bulunya dan kukunya. Darah korban itu lebih dahulu jatuh ke suatu tempat yang disediakan oleh Allah sebelum dia jatuh ke bumi (iaitu pahalanya disegerakan oleh Allah) maka dengan sebab itu hendaklah kamu dengan rela dan ikhlas hati melaksanakannya untuk keuntungan diri kamu sendiri.
Pengorbanan para sahabat dalam hijrah contohnya adalah menunjukkan kasih dan kepatuhan kepada Allah lebih daripada segala-galanya. Apakah pula pengorbanan kita kepada Islam?
Ketaatan dan pengorbanan Qabil dan Habil memberi pengajaran kepada manusia supaya tidak bakhil setelah mereka memperoleh nikmat yang banyak daripada Allah s.w.t.
Mereka hendaklah bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang banyak dan tanda kesyukuran ialah menginfakkan atau membelanjakan sedikit daripada hartanya sama ada dalam bentuk yang wajib (zakat) atau membelanjakannya dalam bentuk yang sunat.
Ketaatan dan pengorbanan yang telah diasaskan oleh Nabi Ibrahim, di mana umat Islam seluruh dunia telah mengorbankan sebahagian daripada harta benda mereka bagi menghadiri muktamar Islam sedunia dan melakukan ibadat haji. Nabi Ibrahim diperintah oleh Allah untuk membina Kaabah yang merupakan rumah ibadat yang pertama seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam surah ali-Imran ayat 96-97.
Setelah selesai Nabi Ibrahim membina Kaabah maka Allah memerintahkan Nabi Ibrahim supaya menyeru manusia supaya datang untuk melakukan ibadat haji. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hajj ayat 27-28 bermaksud:
Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang (ke rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh, ``supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaannya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.
Petikan: Utusan Malaysia
12.2.2003
16 November 2010
Masjid tahan serangan bom atom dan gempa bumi!
Mengenai artikel di isuhangat kisah Masjid yang terselamat dari bencana tsunamisemalam, saya dibuzz oleh seseorang yang memberitahu mengenai masjid yang selamat dari bencana gempa bumi di Jepun. Setelah membrowsing saya terjumpa masjid yang dinyatakan tersebut iaitu Masjid Kobe di Jepun, tapi maklumat yang saya dapat lebih memeranjatkan dan menunjukkan kekuasaan Allah Taala. Masjid Kobe di Jepun bukan sahaja tahan gegaran gempa bumi tetapi masjid ini terselamat dari bom atom! Subhanallah!
Masjid Kobe merupakan masjid pertama di Jepun. Masjid ini dibina tahun 1928 di Nakayamate Dori, Chuo-ku.
Tahun 1945, Jepun terlibat perang Dunia Kedua. Serangan Jepun atas pelabuhan Pearl Harbour di Amerika Syarikat telah membuat kerajaan Amerika memutuskan untuk menjatuhkan bom atom pertama kali dalam sejarah dunia.
Jepun pun menyerah kalah, tentera Jepun yang berada di Malaya pun sama terlibat turut pulang. Dua bandarnya, Nagasaki dan Hiroshima dibom dengan bom atom oleh Amerika. Semasa itu, bandar Kobe juga tidak ketinggalan menerima akibatnya. Boleh dikata Kobe menjadi padang jarak padang terkukur.
Ketika bangunan di sekitarnya musnah sama sekali, Masjid Muslim Kobe tetap berdiri tegak. Masjid ini hanya mengalami keretakan pada dinding luar dan semua kaca tingkapnya pecah. Bahagian luar masjid menjadi agak hitam kerana asap serangan bom. Tentera Jepun yang berlindung di bilik bawah tanah masjid selamat dari ancaman bom, begitu juga dengan senjata-senjata yang disembunyikannya. Masjid ini kemudian menjadi tempat pelarian mangsa perang.
Kerajaan Arab Saudi dan Kuwait menyumbang dana membaikpulih dalam jumlah yang besar. Kaca-kaca tingkap yang pecah diganti dengan kaca-kaca jendela baru yang didatangkan terus dari German. Sebuah lampu hiasan baru digantungkan di tengah ruangan solat utama. Sistem pengatur suhu bilik juga diletakkan di masjid ini.
Sekolah yang hancur akibat perang kembali dibaikpulih dan beberapa bangunan tambahan pun mula dibina. Umat Islam kembali menikmati kegiatan-kegiatan keagamaan mereka di Masjid Kobe.
Krisis kewangan sering menghimpit ahli jawatankuasa masjid. Cukai bangunan yang tinggi membuat jawatankuasa masjid perlu mengeluarkan cukup banyak bayaran dari simpanannya. Banyak sumbangan dihulurkan untuk menyelesaikan masalah kewangan pembangunan dan mengubah suai masjid ini. Sumbangannya menjadikan Masjid Kobe menjadi semakin berkembang.
Pada tahun 1995, kekukuhan Masjid Kobe diuji lagi dengan gempa bumi paling dahsyat. Tepatnya pada pukul 5.46 pagi, Selasa, 17 Januari 1995. Gempa ini sebenarnya bukan hanya menimpa Kobe saja, tapi juga kawasan sekitarnya seperti South Hyogo, Hyogo-ken Nanbu dan lain-lain.
Meski hanya berlaku selama 20 saat, namun gempa ini mengorbankan seramai 6,433 orang, yang sebahagian besarnya merupakan penduduk bandar Kobe. Selain itu gempa Kobe juga mengakibatkan kerosakan besar bandar seluas 20 km dari pusat gempa.
Gempa bumi itu adalah kedua terburuk di Jepun selepas gempa bumi besar Hanshin-Awaji merupakan gempa bumi terburuk di Jepun sejak gempa bumi besar Kanto 1923 yang mengorbankan 140,000 orang.
Namun hingga kini masjid Kobe tetap berdiri kukuh dan tegak, seakan tidak bergoyah meskipun dilanyak dari berbagai bencana. Semoga dakwah Islam di Jepun seteguh masjid ini.
Gambar Masjid Kobe sekarang.
03 November 2010
Universiti Kehidupan 171 – “Akhlak.. Manakah Asasnya…?”
MONDAY, OCTOBER 25, 2010
“Kalaulah program “Bersamamu TV3” dibuat di sini” bisik hati saya ketika menziarahi rumah orang susah di sini. Takrifan orang susah di sini ialah orang yang betul-betul faqir kerana rata-rata orang sini susah.
Inilah keadaan di Cambodia ini.
Saya melangkah masuk rumah Mustafa, orang yang mempunyi enam anak. Barangkali rumahnya sebesar bilik anak-anak kita di Malaysia, atau besar sedikit dari enam biji kereta disusun rapat.
Rumah kecilnya ini mempunyai satu bilik. Tinggal di dalam rumah ini 9 orang, Mustafa bersama isterinya, ibu Mustafa dan 6 orang anaknya.
Anak perempuan yang paling besar berumur 15 tahun, anak perempuan keduanya 12 tahun dan yang paling kecil 2 tahun.
Anak-anak dara yang sedang membesar juga tidur di satu ruang. Kalau di sesetengah tempat di Malaysia, rumah begini sudah tidak ada lagi dan bagi rumah flat sudah tidak diluluskan plan satu bilik kerana mungkin dan terjadi sumbang mahram.
Tetapi kejadian itu tidak berlaku di sini, kenapa?
Mustafa merupakan seorang yang buta mata sebelah kerana terkena serpihan kayu yang masuk ke dalam matanya ketika beliau bekerja menebang pokok. Sampai di hospital, doktor yang mengeluarkan serpihan itu mengeluarkan serpihan ini hingga luka matanya.Menurut Mustafa, setelah matanya dijahit, ia tidak lagi dapat melihat.
Saya memandang ke dinding rumah Mustafa, dindingnya dari buluh yang sudah terkopak sana dan sini, tetapi di dinding ini, tertampal kemas jadual waktu solat.
Terbisik di hati saya…
“Beginilah, sesusah mana pun, solat tetap dijaga, bagi anak-anaknya, solat tetapi dititik beratkan”
Ya.. itulah rahsianya, tidak pernah terjadi perkara buruk sekalipun duduk di rumah yang sempit. Pegangan kepada agama yang kuat.
Mustafa bekerja sebagai pengangkut barang dari pasar menggunakan kereta kuda uzurnya. Seluarnya sangat lusuh dengan jahitan seribu benang-benang yang lain warna dengan warna seluarnya.Tetapi ketika menghadiri solat di masjid, Mustafa akan memakai pakaian putih yang terbaik yang dimilikinya.
Di akan memimpin tangan anak kecilnya untuk dibawa ke masjid.
Ketika kami menziarahinya, seperti biasa, kami melihat aktiviti hariannya dan keluarganya. Dia memotong kayu untuk memasak nasi, tetapi ketika isterinya menyuapkan nasi ke mulut anaknya yang berumur dua tahun lebih, tidak ada lauk yang disertakan, hanya sesudu garam yang ditaburkan pada setiap suapan itu.
Tidak ada keluhan yang terdengar, selepas makan tetap mengucapkan kalimah pujian “Alhamdulillah”..
Sebagai seorang ibu, isterinya menjaga kebersihan anak kecilnya. Beliau melihat kuku anaknya yang panjang, diambilnya sebuah gunting, dan digunting kuku anaknya, tidak ada penyepit kuku, satu-satunya gunting yang dimilikinya menjadi alat untuk banyak perkara.
Pada waktu petang, anaknya akan bermain dengan anak-anak orang lain, bermain guli dan berkejaran, tetapi sampai waktu Maghrib, tak perlu dijerit, semuanya akan pulang ke rumah masing-masing.
Berbual dengan saudara Ali yang biasa menjadi jurukamera program “Bersamamu”..
“Beza ustaz, kadang kala saya tukang ambil gambar program “Bersamamu”, orang susah di negara kita, kadang kala mengucapkan pun tak ingat”
“Kadang kala saya yang ambil gambar ni pun, rasa macam angin juga tengok” kata saudara Ali lagi.
Kalau dah mengucapkan pun tak ingat, usah tanya soal solat. Kalau solat pun diabaikan, maka tidak pernah ada rasa untuk ingatkan Allah, dan apabila orang tidak ingatkan Allah, maka banyak perkara maksiat boleh berlaku.
Itu yang banyak berlaku. Orang susah yang tidak beriman menyumbang kepada gejala sosial. Orang susah tidak beriman paling banyak sumbang mahram, paling banyak bekerja di rumah urut, paling banyak jadi pelacur, paling banyak mencuri, paling banyak menghisap dadah.
Yang kaya tidak beriman dengan caranya di dalam jenayah kolar putih.
Tidak ada orang yang dapat menafikan bahawa agama menjaga manusia menjadi baik, tetapi biasanya agama tidak dimulakan dari awal.
Anak dah mengandung luar nikah, baru cari ustaz yang ada pondok agama, anak dah tak boleh pakai dekat sekolah kebangsaan baru nak hantar sekolah agama.
Bagus dan tak salah, tapi alangkah baiknya jika agama dimulakan sejak awal. Kan lebih bagus.
Tapi tak ramai orang yang mempunyai pemikiran demikian.
Waktu sekarang tidak seperti zaman dahulu, kalau kita nak anak kita mahir dalam bahasa Inggeris, kita boleh hantar mereka ke tuisyen yang hebat-hebat dan dalam beberapa bulan, dia pasti akan dapat bertutur dengan fasih.
Kalau nak anak kita hebat dalam apa-apa mata pelajaran, kita boleh hantar dia kepada guru-guru hebat.
Kita nak pelajaran, kita boleh dapatkan dan tak perlu risau.
Tetapi, tidakkah kita bayangkan, jika anak kita rosak akhlaknya, tidak mudah untuk dipulihkan sikap dan peranginya?
Belum tentu seorang ustaz yang hebat dapat memulihkan akhlak seseorang yang rosak akhlaknya.
Merenung wajah Mustafa memberi keinsafan. Walaupun dia miskin harta, tetapi jiwanya cukup kaya dengan iman dan anak-anaknya juga terdidik untuk memegang agama dengan baik.
Semoga kita selalu mendahulukan pendidikan agama untuk diri dan anak-anak kita, semoga Allah terus anugerahkan kita akhlak yang baik seperti mana akhlak orang-orang yang soleh terdahulu, amin…
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
al-faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Phnom Penh
17 Zulkaedah 1431/25 Oktober 2010 jam 11.00 malam
Rumah Mustafa yang sangat uzur.
di dalam rumah ini tinggal seramai 9 orang.
Mustafa juga menjga ibunya yang telah tua, tidak diabaikannya, berbeza dengan anak sekarang yang terlalu sibuk bekerja hingga kadang kala tidak pernah rasa bersalah meletakkan ibu di rumah orang tua.
Wajahnya tidak pernah kusut dengan masalah, tenang dan sentiasa bersemangat mencari nafkah untuk keluarganya.
Inilah rahsia paling ampuh yang telah dilupakan, menjaga waktu solat untuk memastikan diri terjaga dari kehinaan dan maksiat.
Tanggung jawab ibu yang menjaga kebersihan anaknya, dengan berlantaikan buluh yang dibelah menjadi lantai, tidak pernah lari dari rumah meninggalkan suami kesusahan.
Berlaukkan garam, tetapi tetap sentiasa bersyukur pada setiap kali habis makan.
Anak kedua Mustafa, tetapi menjaga auratnya sekalipun umurnya baru 12 tahun.
Seribu jahitan di seluar, tetapi ketika ke masjid, dia memakai pakaian yang paling baik yang dia ada.
Inilah keadaan di Cambodia ini.
Saya melangkah masuk rumah Mustafa, orang yang mempunyi enam anak. Barangkali rumahnya sebesar bilik anak-anak kita di Malaysia, atau besar sedikit dari enam biji kereta disusun rapat.
Rumah kecilnya ini mempunyai satu bilik. Tinggal di dalam rumah ini 9 orang, Mustafa bersama isterinya, ibu Mustafa dan 6 orang anaknya.
Anak perempuan yang paling besar berumur 15 tahun, anak perempuan keduanya 12 tahun dan yang paling kecil 2 tahun.
Anak-anak dara yang sedang membesar juga tidur di satu ruang. Kalau di sesetengah tempat di Malaysia, rumah begini sudah tidak ada lagi dan bagi rumah flat sudah tidak diluluskan plan satu bilik kerana mungkin dan terjadi sumbang mahram.
Tetapi kejadian itu tidak berlaku di sini, kenapa?
Mustafa merupakan seorang yang buta mata sebelah kerana terkena serpihan kayu yang masuk ke dalam matanya ketika beliau bekerja menebang pokok. Sampai di hospital, doktor yang mengeluarkan serpihan itu mengeluarkan serpihan ini hingga luka matanya.Menurut Mustafa, setelah matanya dijahit, ia tidak lagi dapat melihat.
Saya memandang ke dinding rumah Mustafa, dindingnya dari buluh yang sudah terkopak sana dan sini, tetapi di dinding ini, tertampal kemas jadual waktu solat.
Terbisik di hati saya…
“Beginilah, sesusah mana pun, solat tetap dijaga, bagi anak-anaknya, solat tetapi dititik beratkan”
Ya.. itulah rahsianya, tidak pernah terjadi perkara buruk sekalipun duduk di rumah yang sempit. Pegangan kepada agama yang kuat.
Mustafa bekerja sebagai pengangkut barang dari pasar menggunakan kereta kuda uzurnya. Seluarnya sangat lusuh dengan jahitan seribu benang-benang yang lain warna dengan warna seluarnya.Tetapi ketika menghadiri solat di masjid, Mustafa akan memakai pakaian putih yang terbaik yang dimilikinya.
Di akan memimpin tangan anak kecilnya untuk dibawa ke masjid.
Ketika kami menziarahinya, seperti biasa, kami melihat aktiviti hariannya dan keluarganya. Dia memotong kayu untuk memasak nasi, tetapi ketika isterinya menyuapkan nasi ke mulut anaknya yang berumur dua tahun lebih, tidak ada lauk yang disertakan, hanya sesudu garam yang ditaburkan pada setiap suapan itu.
Tidak ada keluhan yang terdengar, selepas makan tetap mengucapkan kalimah pujian “Alhamdulillah”..
Sebagai seorang ibu, isterinya menjaga kebersihan anak kecilnya. Beliau melihat kuku anaknya yang panjang, diambilnya sebuah gunting, dan digunting kuku anaknya, tidak ada penyepit kuku, satu-satunya gunting yang dimilikinya menjadi alat untuk banyak perkara.
Pada waktu petang, anaknya akan bermain dengan anak-anak orang lain, bermain guli dan berkejaran, tetapi sampai waktu Maghrib, tak perlu dijerit, semuanya akan pulang ke rumah masing-masing.
Berbual dengan saudara Ali yang biasa menjadi jurukamera program “Bersamamu”..
“Beza ustaz, kadang kala saya tukang ambil gambar program “Bersamamu”, orang susah di negara kita, kadang kala mengucapkan pun tak ingat”
“Kadang kala saya yang ambil gambar ni pun, rasa macam angin juga tengok” kata saudara Ali lagi.
Kalau dah mengucapkan pun tak ingat, usah tanya soal solat. Kalau solat pun diabaikan, maka tidak pernah ada rasa untuk ingatkan Allah, dan apabila orang tidak ingatkan Allah, maka banyak perkara maksiat boleh berlaku.
Itu yang banyak berlaku. Orang susah yang tidak beriman menyumbang kepada gejala sosial. Orang susah tidak beriman paling banyak sumbang mahram, paling banyak bekerja di rumah urut, paling banyak jadi pelacur, paling banyak mencuri, paling banyak menghisap dadah.
Yang kaya tidak beriman dengan caranya di dalam jenayah kolar putih.
Tidak ada orang yang dapat menafikan bahawa agama menjaga manusia menjadi baik, tetapi biasanya agama tidak dimulakan dari awal.
Anak dah mengandung luar nikah, baru cari ustaz yang ada pondok agama, anak dah tak boleh pakai dekat sekolah kebangsaan baru nak hantar sekolah agama.
Bagus dan tak salah, tapi alangkah baiknya jika agama dimulakan sejak awal. Kan lebih bagus.
Tapi tak ramai orang yang mempunyai pemikiran demikian.
Waktu sekarang tidak seperti zaman dahulu, kalau kita nak anak kita mahir dalam bahasa Inggeris, kita boleh hantar mereka ke tuisyen yang hebat-hebat dan dalam beberapa bulan, dia pasti akan dapat bertutur dengan fasih.
Kalau nak anak kita hebat dalam apa-apa mata pelajaran, kita boleh hantar dia kepada guru-guru hebat.
Kita nak pelajaran, kita boleh dapatkan dan tak perlu risau.
Tetapi, tidakkah kita bayangkan, jika anak kita rosak akhlaknya, tidak mudah untuk dipulihkan sikap dan peranginya?
Belum tentu seorang ustaz yang hebat dapat memulihkan akhlak seseorang yang rosak akhlaknya.
Merenung wajah Mustafa memberi keinsafan. Walaupun dia miskin harta, tetapi jiwanya cukup kaya dengan iman dan anak-anaknya juga terdidik untuk memegang agama dengan baik.
Semoga kita selalu mendahulukan pendidikan agama untuk diri dan anak-anak kita, semoga Allah terus anugerahkan kita akhlak yang baik seperti mana akhlak orang-orang yang soleh terdahulu, amin…
“Universiti Kehidupan, Pengajian Sepanjang Hayat”
al-faqir Ila Rabbihi
Muhamad bin Abdullah
Phnom Penh
17 Zulkaedah 1431/25 Oktober 2010 jam 11.00 malam
Rumah Mustafa yang sangat uzur.
di dalam rumah ini tinggal seramai 9 orang.
Mustafa juga menjga ibunya yang telah tua, tidak diabaikannya, berbeza dengan anak sekarang yang terlalu sibuk bekerja hingga kadang kala tidak pernah rasa bersalah meletakkan ibu di rumah orang tua.
Wajahnya tidak pernah kusut dengan masalah, tenang dan sentiasa bersemangat mencari nafkah untuk keluarganya.
Inilah rahsia paling ampuh yang telah dilupakan, menjaga waktu solat untuk memastikan diri terjaga dari kehinaan dan maksiat.
Tanggung jawab ibu yang menjaga kebersihan anaknya, dengan berlantaikan buluh yang dibelah menjadi lantai, tidak pernah lari dari rumah meninggalkan suami kesusahan.
Berlaukkan garam, tetapi tetap sentiasa bersyukur pada setiap kali habis makan.
Anak kedua Mustafa, tetapi menjaga auratnya sekalipun umurnya baru 12 tahun.
Antara aktiviti harian Mustafa.
Orang di sini susah bukan kerana malas, tetapi kerana ruang kerja tidak menjajikan pulangan yang besar.
Seribu jahitan di seluar, tetapi ketika ke masjid, dia memakai pakaian yang paling baik yang dia ada.
Antara kerja Mustafa, menjadi penghatar barang dari pasar ke rumah-rumah
POSTED BY USTAZ AMIN AT 11:09:00 PM
POSTED BY USTAZ AMIN AT 11:09:00 PM
02 November 2010
Cabaran ulama masa kini
SUATU lagi sejarah tercatat pada tanggal 21 Syawal 1431 Hijri bersamaan 30 September 2010 Masihi ketika umat Islam di seluruh negara malah dunia masih rancak menyambut sambutan hari raya,
saya menerima berita kematian seorang ulama tersohor di negeri Perak yang juga merupakan sahabat karib saya iaitu Tuan Guru Datuk Haji Abdul Latif bin Haji Abdul Rahman. Beliau juga lebih dikenali sebagai Tuan Guru Pak Teh. Beliau merupakan pengasas Pondok Madrasah Ad-Diniah Al Latifiah di Pengkalan Hulu dan juga salah seorang Ahli Majlis Fatwa Negeri Perak. Pemergiannya amat dirasai sehingga kini terutama bagi para pencinta ilmu dan gerakan Islam. Saya mengenali beliau sebagai seorang yang amat istiqamah menyampaikan ilmu, kuat beribadat, tajam hafalan dan begitu komited dalam menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Betapa saya melihat sendiri lautan manusia datang menziarah, tanpa disuruh dan dipaksa. Jalan kecil ke pondok pada hari itu terpaksa ditutup kerana lapisan manusia bersesak-sesak mahu menziarahi al-marhum jenazah beliau.
Saya yakin pemergian tokoh ulama seperti Tuan Guru Pak Teh sememangnya meninggalkan ruang kosong dalam masyarakat yang memerlukan ulama dalam memandu kehidupan mereka. Suatu soalan yang ingin saya lontarkan di sini ialah mengapa kematian para ulama disebut sebagai satu ujian kepada kita? Bagi menjawab persoalan ini, saya mengajak para pembaca merenungi sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari:
“Dari Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash berkata; aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidaklah mencabut ilmu sekaligus dari hamba, akan tetapi Allah mencabut ilmu dengan cara mewafatkan para ulama hingga bila sudah tidak tersisa ulama maka manusia akan mengangkat pemimpin dari kalangan orang-orang bodoh, ketika mereka ditanya mereka berfatwa tanpa ilmu, mereka sesat dan menyesatkan”.
Imam Ibnu Hajar menyatakan di dalam Kitab Fathul Bari bahawa dari Abu Umamah r.a, ketika mana Baginda SAW menunaikan Haji Wida’ Baginda SAW bersabda : “Ambillah ilmu sebelum ia dicabut atau diangkat.’ Maka para sahabat bertanya, “Bagaimana ilmu itu diangkat?' Jawab Baginda SAW : ‘Ketahuilah, bahawa perginya ilmu itu dengan perginya orang yang menanggungnya ( ulama ).”
Pemergian seorang ulama tidak sama seperti hilangnya seorang doktor, arkitek, peguam mahupun seorang pemerintah. Bukan saya bertujuan mahu memperkecilkan peranan orang lain, namun setiap manusia punya ‘gelanggangnya’ sendiri. Masyarakat yang kehilangan ulama seumpama masyarakat yang hilang arah pedoman hidup. Tiadanya ulama menandakan titik permulaan kehancuran dalam masyarakat. Ketiadaan ulama sebenarnya adalah alamat kepada berlakunya hari kiamat.
Seorang ulama adalah pewaris tugas kenabian sebagai mursyid, murabbi, mudarris, muallim dan muaddib. Tercatat di dalam kitab Tarikh Baghdad diriwayatkan bahawa seorang yang pernah sezaman dengan Imam Syafie r.a menyatakan apabila kami ingin menangis, maka sebahagian dari kami berkata kepada sebahagian yang lainnya “Mari kita pergi bersama-sama kepada pemuda keturunan Bani Muthalib (Imam Syafie) untuk membaca al-Quran. Ketika kami mendatanginya, maka ia mulai membaca al-Quran hingga manusia luluh di hadapannya dan suara tangisan pun akan terdengar. Jika ia mendengar suara-suara tangisan, ia menghentikan bacaannya”.
Seorang ulama adalah laksana bintang di langit yang memandu manusia mencari arah. Di siang hari ulama adalah matahari yang menyinari segala hidupan dengan ilmunya. Oleh kerana itulah Allah SWT telah mengangkat darjat para ulama berbanding manusia yang lain seperti mana firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud : “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”
Banyak ilmuwan bukan bererti banyak ulama
Ketika Imam Abu Hanifah r.a wafat pada tahun 150 Hijriah, lahir juga pada tahun itu Imam Syafie r.a. Maka orang menyatakan telah pergi seorang ulama, tetapi telah datang seorang ulama. Bila Allah SWT mematikan para ulama maka ia ujian bagi umat manusia dalam mencari dan melahirkan generasi ulama baru dalam masyarakat. Kegagalan kita dalam melahirkan dan mengangkat mereka yang selayaknya digelar mahupun dinamakan sebagai ulama akan melebarluaskan ruang kesesatan terhadap umat ini.
Hari ini, ramai dari kalangan anak-anak kita telah dihantar ke universiti di dalam dan luar negara bagi mendalami ilmu-ilmu agama. Secara zahirnya, kita sudah melahirkan para ilmuwan Islam, namun saya berpandangan ia masih belum mencapai tahap sebagai seorang ulama yang hebat. Seorang ulama yang hebat bukan sekadar terbina ilmu dengan timbunan kitab-kitab, tetapi juga perlu menempuh lautan pengalaman. Mereka bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pembimbing dan penasihat. Mereka bijak membawa fatwa untuk diterjemahkan ke dalam dunia hakiki. Setiap katanya adalah mutiara bukannya kaca. Setiap geraknya adalah cerminan adab yang terkandung dalam kitab-kitab. Hidupnya untuk memandu umat bukan dipandu.
Maka adakah para generasi ilmuwan muda pada hari ini mampu mengisi kekosongan ini? Saya bukan pesimistik dengan kehadiran ilmuwan muda hari ini, malah saya sentiasa akan cuba membimbing dan menunjuk ajar mereka sebaik mungkin. Namun inilah cabaran kita hari ini, segulung ijazah adalah permulaan perjalanan untuk menjadi seorang ulama. Terjunlah ke dalam rumpun masyarakat bagi memahami situasi, dengan itu barulah kita mampu menjadi seorang ulama yang hebat.
Cabaran dalam berdakwah
Secara peribadi, saya telah menikmati asam garam dalam kerja-kerja dakwah dan kemasyarakatan dalam jangkamasa yang agak lama. Memegang amanah sebagai Mufti Kerajaan Negeri Perak sahaja sudah menjangkau 26 tahun dan terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Peringkat Kebangsaan sudah melangkaui 35 tahun. Saya berserah kepada Allah SWT agar tugasan ini menjadi amal soleh sebagai bekalan saya di akhirat. Terjun dalam arena dakwah memerlukan kesungguhan dan kesabaran yang amat tinggi. Banyak kenyataan yang telah saya keluarkan menjadi bahan cacian dan sendaan pelbagai pihak. Teringat saya kepada kenyataan yang pernah saya nyatakan dahulu bahawa haram hukumnya menonton filem Bollywood. Begitu juga haram menganjurkan program Sure Heboh. Terdapat banyak pihak memberi ulasan yang pelbagai bagi “menghalalkan” filem dan program tersebut untuk dipertontonkan kepada masyarakat. Saya sama sekali tidak pernah akur biarpun didesak oleh pelbagai pihak supaya melihat bahan tontonan dan program tersebut dari perspektif positif, kerana bagi saya pihak berwajib perlu menyajikan kepada masyarakat bahan-bahan yang boleh menambahkan kemantapan aqidah, kekuatan beribadah dan nilai tambah kepada akhlak dan adab. Apatah lagi sajian-sajian tersebut amat digemari oleh generasi pewaris agama, bangsa dan tanah air kita.
Dalam konteks ini, saya ingin menukilkan bahawa alangkah baiknya jika Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dapat memberi ruang kepada para mufti, para agamawan mahupun para cendekiawan Islam bersama-sama memberi idea dan buah fikiran dalam penyediaan garis panduan penyiaran rancangan-rancangan televisyen dan program-program anjuran mereka. Dalam catatan kehidupan saya sebagai mufti khususnya, saya tidak pernah dipanggil secara rasmi untuk dikongsi idea dan pandangan berkenaan hal ini. Pernah para mufti berhasrat untuk bertemu dengan menteri terbabit dan tarikh pertemuan sudah diatur, namun kunjungan kami hanya disambut oleh pegawai dari kementerian terbabit. Dalam hal ini, saya memuji kesediaan Allahyarham Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri di sebuah kementerian untuk bertemu dan berbincang dengan para mufti terhadap isu-isu yang berlaku ketika itu. Sebagai seorang mufti, saya menzahirkan rasa kecewa kerana keinginan untuk bertemu dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan seringkali tidak tercapai sedangkan banyak isu dan permasalahan yang boleh diketengahkan oleh para mufti. Ini satu contoh yang diperturunkan dalam ruangan ini supaya para ulama dan terutamanya para mufti tidak sewenang-wenangnya di labelkan sebagai “bisu” dan “lembab” .
Saya melihat bahawa kegagalan mengawal selia bahan-bahan penyiaran juga merupakan ejen dan penyumbang kepada kerendahan akhlak dan moral para muda mudi dewasa ini. Biarpun terdapat rancangan-rancangan berbentuk keagamaan ditayangkan, namun pada pengamatan saya ia tidak mampu menyaingi rancangan hiburan yang seolah-olah menjadi suatu kemestian untuk disiarkan setiap hari. Pada saya, inisiatif perlu diambil oleh pihak kementerian agar dasar dikaji semula supaya bahan-bahan yang akan ditayangkan dikawal dan disaring agar memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh syarak. Apakah ertinya melaungkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh sekiranya bahan-bahan tontonan umum tidak menepati penanda aras yang telah ditetapkan oleh Islam?
Mutakhir ini, saya dihubungi oleh pihak media berhubung dengan perancangan Program Transformasi Ekonomi ( ETP ) yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan bertujuan memaju industri pelancongan negara. Saya difahamkan bahawa program ini akan lebih menyuburkan kegiatan-kegiatan maksiat yang terang-terangan boleh merosakkan akhlak anak bangsa terutamanya di bandar-bandar besar. Biarpun program ini bertujuan menggandakan pendapatan dan akan berlaku peningkatan ekonomi terhadap negara, namun saya menentang keras program ini kerana ia sama sekali tidak menjamin pulangan yang membanggakan terhadap peningkatan akhlak masyarakat. Para mufti, para pendakwah dan para ustaz membanting keringat menyedarkan masyarakat saban hari tentang bahaya maksiat dan dosa, namun dalam masa yang sama aktiviti yang berteraskan maksiat disubur biakkan. Saya mengharapkan agar pihak yang berwajib melakukan kajian semula terhadap cadangan ini dan saya berkeyakinan semua para mufti dan cendekiawan Islam akan bergerak senada dan seirama membantah cadangan ini. Menghindarkan masyarakat dari sebarang kerosakan lebih baik daripada mengubat masyarakat yang sudah rosak dan tenggelam dalam kelalaian.
Jangan Takut Kahwin Awal
AHD, 31 OKT 2010 18:30 | UNKNOWN | EDITOR: KASIHSAYANG
Nota : Bagaimana seorang pelajar tahun akhir universiti yang hampir bunuh diri kerana depresi (tekanan) setelah ditinggalkan kekasih mengubah kehidupannya 180 darjah menjadikannya insan yang paling bahagia di muka bumi ini dengan perkahwinan di usia awal. Berikut adalah coretan terus dari hati dan mata pena beliau.
Saya berusia 21 tahun, dan sudah berkahwin. Masih muda bukan? Suami saya berusia 23 tahun. Juga masih muda. Kami berdua masih belajar. Jadi, mengapa berkahwin? Kalau ikut kata mak ayah, "Nak bagi bini makan apa? Pasir?"
Perjalanan cinta saya tidak mudah. Sebelum berkahwin, saya pernah teruk dikecewakan bekas kekasih. Dia minta masa 3 tahun dari tarikh kami 'declare', untuk bersedia untuk berkahwin. Hampir 3 tahun, saya ditinggalkan untuk perempuan lain. Kecewa? Sudah tentu. Jujur, saya hampir bunuh diri. Saya mengalami tekanan hidup sehingga tidak berhubung dengan dunia luar.
Tapi selepas itu baru saya sedar kehadiran suami saya yang sudah 4 tahun menunggu peluang. Pada mulanya, saya ingat sekadar 'cinta rebound', tetapi selepas 2 bulan berkenalan dan bercintan, suami saya melamar untuk berkahwin. Pada mulanya, saya ingat satu gurauan. Akhirnya si dia berani hubungi ayah saya dan minta izin untuk berkahwin kerana takut kehilangan saya lagi.
Ayah saya pun dahulu berkahwin ketika belajar; ketika beliau tahun 1 peringkat ijazah.
Suami saya pelajar perubatan tahun 3, dan saya cuma tinggal 2 bulan untuk mengakhiri pengajian. Ayah saya bersetuju memandangkan saya sudah kecewa, takut juga pisang berbuah dua kali. Akhirnya, kami berkahwin. Dengan mahar RM 200, sebentuk cincin emas, tiada hantaran, tiada majlis, kami bernikah.
Simple bukan? Kenapa perlu pening?
Kalau anda lelaki, anda mesti ingin berikan segala yang terbaik untuk bakal isteri anda.
Dan, kalau anda perempuan seperti saya, semestinya inginkan hantaran yang tinggi (lulusan ijazah sekarang, hantaran RM10K ke atas). Perlu tidak?
Maaf perempuan, kalau terasa. Saya bukan jual diri, saya tidak perlukan hantaran RM10-20K. Saya tidak letak harga untuk nilai diri sendiri dan harga cinta saya. Ini masalah kalau kita kahwin cara Melayu; bukan cara Islam.
Saya perempuan lulusan ijazah, saya ada tulang 4 kerat, dan saya boleh berusaha, kenapa perlu mengharap dengan lelaki? Suami bukan untuk dibebani, tapi untuk disenangi. Isteri bukan untuk dibeli, tapi untuk dikasihi.
Kos kahwin sekarang paling rendah pun RM20K serba serbi. Hantaran, majlis, belum baju, pelamin. Tapi cuba fikir, perlu tidak? Baju raya kan masih ada, cantik lagi. Kasut raya pun masih baru.
Kenapa perlu buat majlis di hotel, dewan orang ramai kan ada? Kalau rasa sangat mahal untuk katering, boleh upah orang masak, tinggal sediakan bahan dan peralatan. Bersanding tak perlu, buat penat badan duduk macam tunggul depan orang.
"Seganlah. Nanti orang kata apa."
"Isk, buat malu belajar tinggi-tinggi, tak dapat hantaran."
Hai, ni mentaliti Barat. Bagi yang beragama Islam, ingat rukun nikah.
Tanggungjawab selepas kahwin yang penting. Lebih baik duit sewa pelamin jadi duit persiapan untuk anak pertama. Prioritikan penggunaan duit anda. Kos bersalin bukan murah. Kalau di hospital kerajaan, paling kurang perlu ada RM400-500. Tapi di hospital swasta, minimum RM2000. Kos ada anak sangat tinggi sekarang.
Pernah cuba lihat harga setin susu bayi di pasar? Harga lampin pakai buang? Dan sekarang, anda masih terfikir pelamin itu penting? Ini tak kira duit nak beli kenderaan, beli rumah. Pening!!
Jadi jangan bebankan diri anda dengan majlis perkahwinan yang membazir dan tidak perlu.
Saya bahagia sekarang. Boleh keluar dengan suami tanpa rasa takut dan malu, disentuh lelaki bukan mahram. Dan suami saya tidak perlu takut saya diambil lelaki lain seperti dahulu. Apa semua yang pasangan bercinta lakukan, kini kami lakukan dengan halal. Dan kami boleh lakukan lebih dari itu, dengan halal. Tidak perlu risau. Kami aman dan bahagia. Saya dan suami masih bercinta. Masih belajar mengenal sesama sendiri. Dan percayalah, tak guna bercinta lama-lama.
Seganlah keluar dengan pasangan yang tidak halal untuk anda. Saya dan suami, masih seperti pasangan yang baru bercinta. Saya mampu tanggung hidup sendiri, kerja dan cari duit sendiri. Buat apa menyusahkan suami? Dan suami berusaha belajar bersungguh-sungguh (bagi pelajar perubatan, anda faham maksud saya), untuk mendapat keputusan yang cemerlang. Saya tahu ego lelaki tercabar, tetapi saya jujur cintakan suami saya. Saya tak ingin jadi beban, cukup asal dia berasa senang dengan saya.
Tidak perlu nafkah yang besar, semampu yang ada saya terima.
Bakal-bakal isteri sekalian, bersyukurlah dengan suami anda. Dan bakal-bakal suami sekalian, hargai isteri kamu. Terima kekurangan dan kelemahan pasangan anda. Persamaan membina keserasian, perbezaan itu melengkapkan.
Rezeki Tuhan ada di mana-mana. Jangan putus asa. Berkahwinlah! Semoga anda semua merasa tenang dan bahagia.
"Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptkan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu BERSENANG HATI dan hidup MESRA dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan KASIH SAYANG dan BELAS KASIHAN." (Surah Ar-Rum, 21)
Subscribe to:
Posts (Atom)
























